Sebelum ini SK telah berkongsi bagaimana situasi getir kini telah memberi kesan yang mendalam kepada rata-rata penduduk di Langkawi yang menderita akibat kehilangan pendapatan ekoran kehadiran pelancong yang semakin berkurang.
Hal ini bertambah buruk berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasa. Majoriti penduduk Langkawi daripada ejen pelancongan sehinggalah budak pantai yang mengendalikan kegiatan sukan air, kini terduduk tanpa sebarang pendapatan.
Namun penduduk di sekitar Kampung Nyior Chabang hampir 22 keluarga dan 30 pemandu teksi mampu menarik nafas lega apabila didatangi ‘penderma misteri’ setelah kisah mereka tular beberapa hari lalu di Siakap Keli.
Seorang individu berhati mulia telah menyumbangkan barangan keperluan seperti tikar getah, set katil dan tilam, katil hospital, pampers, kerusi roda, tongkat, kerusi malas, motor roda tiga serta bekalan makanan lain untuk kegunaan penduduk di Kampung Nyior Chabang, Langkawi yang terkesan akibat wabak ini.
Sumbangan daripadan penderma enggan dikenali itu dibuat melalui seorang penduduk setempat, dikenali sebagai Pakcik Zainol.
Pakcik Zainol ketika dihubungi berkata sumbangan itu sedikit sebanyak memudahkan penduduk setempat sekali gus merasa terharu, rintihan mereka didengari pihak-pihak prihatin.
“Kami terkejut ada orang sanggup mai dari jauh semata-mata nak tolong kami disini. Depa bawa macam-macam bagi kami, niat nak ringankan beban penduduk-penduduk disini.
“Kami disini susah. Ada syarikat yang mula potong gaji pekerja. Lagi teruk ada juga yang tak dibayar gaji.
“Kami ni ibarat tunggu buah tak gugur sampai nak bayar sewa rumah pun tak mampu. Paling teruk ada yang sampai terputus bekalan makanan.
“Kita pun tau, kalau mai sini dah tak dak apa. Pengusaha-pengusaha hotel, peniaga premis semua tak mampu bayaq gaji pekerja dah. Depa terpaksa hentikan pekerja kerana impak ni cukup hebat.
“Pantai Chenang yang jadi tarikan utama pelancong bila datang ke Langkawi yang dahulunya meriah kini sunyi sepi seperti pekan mati,” kata Pakcik Zainol.
“Saya terima kasih banyak-banyak pada mereka ni yang mai sudi hulur bantuan kepada kami, pemandu teksi, pemandu pelancong Qariah Nyior Chabang. Sikit sebanyak ringan beban penduduk sini.
“Semoga Allah saja dapat membalas segala kebaikkan yang diberikan,” luah Pakcik Zainol.

