Rakyat Malaysia berkemungkinan dapat menarik nafas lega ekoran peralihan angin monsun yang dijangka bermula pada esok, 24 September 2019 yang dapat mengurangkan kesan jerebu di tanah air.
Pada 21 September lepas, Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan siaran media berkaitan Permulaan Fasa Peralihan Monsun yang bakal memberi kesan seperti tiupan angin dari pelbagai hala dengan kelajuan yang lemah dan berpotensi untuk pembentukan awan ribut petir.
Menerusi kenyataan tersebut, keadaan cuaca yang lazim berlaku ketika fasa peralihan monsun ialah ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dalam jangka masa yang singkat terutamanya pada waktu petang dan malam.
Sehubungan itu, cuaca berjerebu yang melanda negara ini dijangka bertambah baik ekoran perubahan cuaca yang dijangkakan. Peralihan monsun ini dijangkakan akan berterusan sehingga bulan November 2019.
Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa.
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia