Dalam ucapan kemenangannya pada Jumaat lalu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu telah dilaporkan berterima kasih kepada Presiden Donald Trump dan berazam untuk mendapatkan pengiktirafan Amerika Syarikat (AS) bagi mengambil alih Tebing Barat.
Pengumuman tersebut dibuat kepada penyokongnya sehari selepas dia berjaya mengalahkan pencabarnya iaitu Gideon Sa’aar dengan mudah.
Menurut akhbar Times of Israel, kemenangan yang diperolehi Netanyahu untuk kekal sebagai pemimpin Parti Likud itu dipercayai ada kaitan dengan pelan enam perkara yang digariskan oleh Perdana Menteri Israel tersebut.
“Pertama sekali, kita akan memuktamadkan sempadan kita; kedua, kita akan menggesa AS untuk mengiktiraf kedaulatan negara kita di Lembah Jordan dan utara Laut Mati; ketiga, kami akan menggesa AS untuk mengiktiraf kedaulatan ke atas semua kawasan di Tebing Barat tanpa sebarang pengecualian.
“Keempat, kita akan menggesa AS untuk menjalinkan perikatan pertahanan bersejarah bersama bagi melindungi kebebasan tindakan Israel; kelima, menyekat kemaraan Iran dan sekutunya secara habis-habisan dan yang terakhir sekali adalah berusaha untuk membuat perjanjian damai dengan negara-negara Arab,” ujar Netanyahu.
“Perkara ini pasti akan tercapai,” tambahnya lagi.
Baca: Nak Beli Cash Tak Mampu, Huawei Wujudkan Skim Bayaran Ansuran 0% Interest Untuk Pelajar Beli Gadgetnya
Sumber: Times of Israel