
Selepas Enam Bulan Baru Perasan, Guna Air Tandas Untuk Makan, Minum, Masak & Mandi
Sepasang suami isteri di China berdepan detik meloyakan selepas dilapor menggunakan air tandas selama enam bulan tanpa sedar, lapor Mirror UK.
Pasangan malang itu dikatakan mengalami masalah kesihatan sebaik sahaja berpindah ke rumah sewa baharu mereka yang terletak di Beijing, China pada Mei lalu.
Penyewa yang dikenali sebagai Tan berkata, dia berdepan dengan masalah keguguran rambut dan jerawat yang teruk selepas berpindah di rumah tersebut.
Sementara itu, pasangannya pula mengalami batuk-batuk dan rasa tidak selesa di bahagian dadanya.
Tan yang kebingungan kemudian menyedari bahawa mereka tidak pernah menerima sebarang notis bil air sepanjang menyewa disitu. Anehnya, bekalan air rumah tersebut masih ada dan tidak dipotong.
Dia kemudian bertindak memeriksa meter air dan mendapati ia tidak bergerak walaupun mereka sedang menggunakan air.
Menyedari ada yang tidak kena, mereka mengambil keputusan untuk mengupah tukang paip untuk membuat pemeriksaan.
Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati bahawa terdapat paip misteri tambahan di rumah berkenaan. Manakala, paip misteri itu pula menghubungkan air tandas dengan paip utama rumah.
BACA: Perhilitan Sahkan Pekerja Ladang Maut Dibaham Harimau Belang
Tukang paip kemudian memberitahu bahawa mereka selama ini mungkin menggunakan air paip yang sudah bercampur dengan air tandas.
Pasangan itu nyata terkejut kerana mereka menggunakan bekalan air rumah itu untuk pelbagai aktiviti seperti minum, masak dan mandi.
Paip itu kemudiannya telah dibetulkan oleh tukang paip dan Tan pula nekad menuntut ganti rugi daripada syarikat penyewa atas kecuaian tersebut.
Syarikat penyewa itu berkata, penyewa diberikan pilihan sama ada mahu menggunakan sumber air minuman daripada paip utama atau telaga yang berdekatan. Penyewa dikatakan boleh melaraskan injap paip mengikut pilihan mereka sendiri.
Bagaimanapun, menurut pasangan itu, mereka mendakwa bahawa perkara itu tidak pernah diberitahu oleh syarikat tersebut. Ia hanya diberitahu selepas penemuan paip misteri tersebut.
BACA: Tular Video Dion Cools Nyaris Dipukul Dalam Insiden Pergaduhan Pemain Di Piala ACL
Sumber: Mirror