Bagan Serai, 27 Sept – Selepas dua hari, akhirnya lori tangki membawa 20,000 liter bahan kimia acetone yang terbalik ke dalam parit di Kampung Parit Mentara 3 di sini berjaya diangkat dan dialihkan.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Yunus Abu berkata lori itu terbabas pada pukul 5 pagi Rabu lalu dan berjaya dialih pada 10.30 malam semalam.
“Lori tangki yang terbalik itu diangkat menggunakan dua buah kren sebelum ditunda keluar dari kampung berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Berikutan itu, operasi ditamatkan pada pukul 11.30 malam.
Operasi tersebut telah melibatkan 35 orang anggota bomba termasuk dari Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) bagi mengendalikan cecair kimia yang mudah meruap dan mudah terbakar itu.
Disebabkan risiko kebakaran, empat buah keluarga yang tinggal dalam radius 100 meter dari lokasi telah dievakuasi ke tempat berhampiran.
Pihak bomba telah mengesahkan tiada bahan berbahaya dalam udara dikesan di kampung itu susulan kejadian berkenaan.
Sumber: Bernama