Ketegangan yang memuncak akibat ancaman tindakan tentera Rusia ke atas Ukraine semakin mendebarkan sehingga beberapa negara mengambil keputusan untuk ‘mengharamkan’ penerbangan ke negara tersebut.
Terbaru, Korea Selatan pada Jumaat telah memutuskan untuk melarang penduduknya melancong ke semua wilayah di Ukraine dan menggesa rakyatnya yang berada di negara tersebut untuk keluar segera.
Berdasarkan laporan Korea Herald, Kementerian Luar Negara Korea Selatan telah mengeluarkan amaran tahap 4 di mana ia adalah amaran tertinggi berkuat kuasa pada Ahad ini.
Jika ada individu yang masih berdegil melakukan perjalanan ke negara tersebut dan melanggar amaran tahap 4 ini akan dikenakan tindakan undang-undang yang berkaitan (Yonhap).
Jumlah warga Korea Selatan yang menetap di Ukraine kira-kira seramai 341 termasuklah kakitangan kedutaan Seoul.
Selain itu, menurut laporan BBC memaklumkan bahawa negara Belanda dan Jepun turut mengambil keputusan untuk melarang dan menggesa rakyat mereka yang berada di negara tersebut untuk keluar secepat mungkin.
Terdahulu, seramai 250 orang warganegara Jepun telah menghantar surat pemberitahuan kediaman mereka di Ukraine untuk rujukan kerajaan.
Sumber: BBC, Korea Herald, NHK