Selepas 11 Tahun, Peniaga Takoyaki Berjaya Rangkul Segulung Ijazah
Dalam dunia ini mudah untuk gapai sesuatu sekiranya kita letakkan sasaran.
Jika baca sekali lalu, orang akan berkata ia adalah sesuatu perkara yang mudah tetapi hanya mereka yang melaluinya sahaja mengetahui bagaimana peritnya untuk berjaya.
Disebabkan itu, wujudnya pepatah di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Hanya mereka yang sanggup berkorban dan hadapi cabaran sahaja dapat kejayaan yang diingini.
Seperti seorang peniaga takoyaki, Rahmatul Fikri Haidin, yang akhirnya berjaya merangkul segulung Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat dengan Kepujian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) selepas 11 tahun.
Kisah Rahmatul telah dikongsi di laman Facebook rasmi USIM pada Selasa dengan tujuan untuk memberi inspirasi dan penghargaan kepada Rahmatul.
Menceritakan kembali, Rahmatul berkata pada awalnya dia memilih untuk tidak meneruskan pengajian tersebut susulan sudah selesa berkecimpung dalam bidang perniagaan.
Bagaimanapun, dia membuat keputusan berani dengan mengubah kehidupannya ke arah lebih baik apabila Ketua Program Pentadbiran Muamalat, Dr. Nur Qamarina Sharom menghubunginya pada September lalu.
Dr. Nur Qamarina mencadangkan kepada Rahmatul untuk ambil program Reach Out English for Employment Course yang hanya diadakan dalam talian selama 12 hari.
Program tersebut merupakan satu inisiatif USIM bagi membantu graduan melayakkan diri untuk graduasi.
Rahmatul berkata kos yang diadakan setiap hujung minggu dalam talian itu membuatkan dia bersemangat untuk sambung semula pengajiannya yang terhenti pada masa lalu.
“Pada mulanya saya tidak mahu meneruskan pengajian yang dah tertangguh ini kerana sudah berasa selesa.
“Jiwa saya telah sebati dengan berniaga dan pernah membuka kiosk Chef Takoyaki di Nilai selama empat tahun, sebelum berhijrah ke Johor Bahru.
“Saya rasa bersyukur dan berterima kasih kepada isteri saya yang juga alumni USIM tahun 2016 yang meminta untuk saya mengambil kos jangka pendek ini kerana ia hanya diadakan pada setiap hujung minggu secara dalam talian selama 12 hari, jadi saya sahut semangat beliau,” katanya.
Sumber: Universiti Sains Islam Malaysia – USIM/Facebook