SHAH ALAM – Kerajaan Selangor masih tetap dengan pendirian untuk mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketika solat berjemaah iaitu solat berjarak seperti yang ditetapkan sebelum ini.
Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, ketetapan itu dibuat oleh pihak autoriti agama terutama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dinasihatkan oleh pelbagai pihak berkepentingan.
Namun begitu, makluman berkaitan tentang ketetapan baharu berkenaan SOP solat akan diberitahu kelak jika terdapat sebarang perubahan mengenainya.
Pada Khamis lepas, sebuah portal berita melaporkan negeri Perlis sudah mula merapatkan saf solat di semua masjid negeri tersebut bermula Sabtu.
Berdasarkan laporan tersebut, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa keputusan berkenaan telahpun mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail setelah meneliti perkembangan semasa Covid-19 di negeri tersebut.
Sumber: Sinar Harian