Tarikh 11.11 pada hari ini selalunya akan sinonim dengan tawaran-tawaran berbelanja dengan harga cukup murah, sama ada premis makanan segera, pusat beli-belah, ‘gedung atas talian’ seperti Shopee, Lazada dan banyak lagi.
Tapi tahukah anda, kenapa mesti tarikh 11.11 ini yang dipilih untuk membeli-belah sakan dengan promosi-promosi hebat? Kenapa tidak tarikh lain? Adakah sebab angkanya cantik 11.11?
Untuk makluman anda, tarikh 11.11 sebenarnya disambut sebagai Hari Single di China.
Orang-orang bujang di sana akan memperingati sambutan ini dengan membeli dan memberikan hadiah kepada diri mereka sendiri.
Sekaligus ia menjadikan sambutan Hari Single ini menjadi hari membeli-belah dalam talian (online shopping) terbesar di dunia.

Sebenarnya daripada sudut lain, ada satu makna tersirat yang ada di sebalik angka 11.11 yang diraikan sebagai Hari Single ini.
Merujuk kepada Investopedia, Hari Single jatuh pada 11 November kerana secara teknikalnya, angka 11.11 menunjukkan:-
Empat jumlah angka satu = 11.11
Kesemua nombor ‘satu – 1’ berdiri bersama
Secara literalnya, ia diterjemahkan kepada Single Sticks Holiday
Dahulunya dikenali sebagai ‘Bachelor’s Day‘, sambutan ini pada mulanya disambut dalam kalangan pelajar di universiti di Nanjing, China pada sekitar 1993 lalu sebagai kesinambungan kepada Hari Kekasih (Valentine’s Day) pada 14 Februari.
Terdapat banyak teori yang diperkatakan mengapa 11.11 menjadi Hari Single bagi pelajar-pelajar tersebut.

Namun salah satu teori yang paling banyak diterima ramai mengatakan bahawa ada empat pelajar lelaki (bujang) di Universiti Mingcaowuzhu, Nanjing pernah membincangkan bagaimana mereka dapat ‘melepaskan diri’ daripada monotony (kekurangan rasa minat, ada rutin membosankan) kerana tidak mempunyai pasangan.
Lalu mereka bersetuju bahawa tarikh 11 November (11.11) akan menjadi hari sambutan bagi golongan-golongan bujang (single) seperti mereka.
Sejak itu, sambutan ini mula tersebar ke seluruh universiti dan ke tempat-tempat lain dan turut ‘menjangkiti’ golongan perempuan yang single juga sehinggalah namanya berubah kepada Single’s Day.
Walaupun 11.11 bukan tarikh cuti umum yang diiktiraf secara rasmi di China, tetapi Single’s Day telah menjadi hari membeli-belah dalam talian yang terbesar di dunia.
Merujuk Investopedia lagi, sambutan 11.11 itu menjadi aktiviti komersial utama di China pertama pada abad ini, ketika syarikat e-dagang gergasi China, Alibaba (BABA) membuat tawaran jualan pelbagai produk dengan potongan harga yang sangat tinggi dalam tempoh 24 jam, bermula tengah malam 11 November 2009 lalu.
Bermula sejak itu, Single’s Day telah menjadi hari membeli-belah yang amat rancak hingga hari ini, sama seakan hari membeli -belah atas talian Black Friday dan Cyber Monday yang disambut di Amerika Syarikat (US).

Rekod tahun 2019 pernah mencatatkan, Alibaba berjaya mencatat angka jualan ‘meletup’ sebanyak kira-kira USD 38.4 bilion (bersamaan anggaran RM1.8 bilion) dalam masa sehari – bersempena sambutan Single’s Day pada 11.11 itu.
Jadi bagi anda yang single, janganlah bersedih. Duit banyak-banyak yang ada tu, pergilah buat belanja diri sendiri. Hari ini ada macam-macam promosi menarik ditawarkan.
Orang kata, hidup single tak apa janji kaya!
Sumber: Investopedia