Seramai 28 orang di Tambora, Jakarta Barat, terpaksa dikuarantinkan gara-gara menunaikan solat terawih di surau yang dipimpin oleh imam yang nekad mengetuai solat tersebut walaupun telah disahkan positif Covid-19 pada hari sebelumnya, lapor Detik News.
Imam yang berusia 82 tahun itu merupakan seorang ketua Rukun Tetangga serta pemimpin masyarakat tempatan di sana. Dia juga sering menjadi imam solat fardhu dan solat terawih di surau berdekatan tempat tinggalnya.

“Imam yang ditugaskan sebenarnya ada sahaja, cuma kadang kala mereka menjadi imam bergilir-gilir, kadang-kadang solat terawih dipimpin imam asal, kemudian solat witir bertukar, mungkin solat isya akan dipimpin olehnya, kemudian terawih dipimpin oleh imam asal pula,” ujar penduduk setempat.
Pada mulanya, anak daripada imam tersebut yang mula-mula dijangkiti dengan virus maut tersebut. Anaknya itu telah mengalami gejala demam sebelum disahkan positif apabila melakukan ujian swab dan telah dikuarantinkan di hospital.
Ujian swab kali yang kedua dilakukan ke atas anaknya itu menunjukkan bahawa keputusannya adalah negatif. Justeru daripada itu, dia telah dibenarkan pulang ke rumah pada hari Khamis (7/5/2020). Untuk mematuhi SOP yang dikeluarkan kerajaan Indonesia, pihak pusat kesihatan telah melakukan ujian swab ke atas imam tersebut bersama isterinya.
“Apabila anaknya positif, dia pasti akan melakukan hubungan langsung, jadi risiko untuk ibu bapanya itu terjangkit adalah sangat tinggi. Disebabkan itu jugalah pusat kesihatan perlu melakukan ujian swab ke atas ayah dan ibunya juga,” kata penduduk setempat tersebut.
Pada hari Jumaat (8/5/2020) imam tersebut bersama isterinya didapati sah dijangkiti dengan virus Covid-19. Pada keesokan harinya, petugas kesihatan serta pegawai daerah telah hadir ke rumah mereka bagi memindahkan mereka ke hospital untuk dirawat. Pun begitu, imam tersebut dipercayai telah bertindak menolak permintaan petugas kesihatan tersebut.
“Kerana dia merasa bahawa dia sihat dan tidak menunjukkan sebarang simptom, justeru dia merasakan bahawa apa yang cuba dilakukan oleh pihak doktor adalah tidak betul,” katanya.
Menurut penduduk setempat tersebut, lelaki itu bahkan telah bertindak memimpin solat terawih pada hari Khamis (7/5/2020) hingga hari Sabtu (9/5/2020). Difahamkan, seramai 28 orang jemaah yang mengikuti solat terawih di surau terbabit. Tambahnya lagi, sebilangan jemaah tersebut didakwa tidak memakai topeng penutup hidung dan mulut ketika solat terawih itu diadakan.
Perkara tersebut telah sampai ke pengetahuan majlis daerah sehingga akhirnya pihak majlis daerah sendiri terpaksa turun padang untuk menjemput imam tersebut dan isterinya untuk dikuarantin di hospital. Setelah dipujuk, imam tersebut akhirnya bersetuju untuk dikuarantinkan di RSUD Tarakan pada hari Ahad (10/5/2020).
Pihak majlis daerah juga turut melakukan ujian swab kepada 28 jemaah yang mengikuti solat terawih di surau tersebut. Sebelum keputusannya dapat diketahui, mereka dilaporkan sedang menjalani tempoh kuarantin di rumah masing-masing.
Menurut penduduk itu lagi, orang ramai kini telah dilarang untuk bersolat di surau tersebut buat sementara waktu. Selain dari itu juga, surau yang berdekatan dengan surau tersebut juga turut dilaporkan ditutup.
Sumber: Detik News