Seramai kira-kira 150 kerabat diraja Saudi dilaporkan positif COVID-19, lapor Al-Jazeera.
Gabenor Riyadh, Putera Faisal Bin Bandar Bin Abdulaziz Al-Saud yang kini berusia 70-an dilaporkan sedang dirawat di unit rawatan rapi, tambah laman itu memetik laporan New York Times.
Sementara itu, Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman turut dikhabarkan sedang menjalani kuarantin bagi mengelakkan jangkitan.
Tambah Al-Jazeera, para doktor di hospital elit yang merawat kerabat diraja juga kini sedang menyediakan lebih 500 katil untuk menampung pertambahan pesakit.
Arahan bersiap sedia untuk menerima kemasukan VIP dari seluruh negara dilaporkan telah dikeluarkan secara elektronik kepada para doktor terlibat.
Semua pesakit kronik juga dilaporkan perlu dipindahkan secepat mungkin dan hanya kes segera kelas atas akan diterima.
Mesej tersebut turut memaklumkan staf yang positif COVID-19 akan dirawat di hospital lain bagi memberi ruang kepada kerabat diraja, lapor Al-Jazeera.
Ada antara putera Saudi yang sering melancong ke Eropah dipercayai telah dijangkiti virus tersebut sebelum membawa pulang ke negara mereka.
Setakat ini, lebih 2,900 kes COVID-19 dilaporkan di Arab Saudi yang mempunyai 33 juta rakyat dengan 44 kematian.
Kerajaan Saudi dijangka bakal mengumumkan sama ada mereka akan terus menerima jemaah haji pada tahun ini atau pun tidak. Setiap tahun, seramai kira-kira 2.5 juta umat Islam dilaporkan pergi ke Mekah untuk menunaikan haji.
Sumber: Al-Jazeera