Gambar via BBC News

Sekolah Seni Mariupol, ‘Shelter’ 400 Penduduk Ukraine Musnah Diserang Rusia

Iqbal Yasir

Sebuah sekolah seni di Mariupol, Ukraine yang menempatkan kira-kira 400 orang yang berlindung di sana musnah akibat terkena serangan pihak Rusia, lapor BBC.

Menurut BBC, serangan tersebut mengakibatkan ramai orang terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, “Serangan Rusia ke atas bandar pelabuhan selatan Mariupol akan sentiasa diingati selama berabad-abad,”

“Semakin banyak keganasan yang Rusia lakukan terhadap Ukraine, semakin buruk akibatnya, ” katanya.

Merujuk CBS News, serangan kepada bangunan awam yang menjadi tempat perlindungan penduduk tersebut merupakan kali kedua berlaku dalam tempoh kurang seminggu.

Difahamkan, kira-kira lebih 1,300 orang dipercayai berada di sekitarnya ketika masa kejadian pada Rabu, memetik pegawai tempatan menerusi CBS News.

Dalam pada itu, Zelensky turut mendakwa bahawa Rusia telah melakukan jenayah perang di bandar tersebut, di mana pertempuran hebat (kedua-dua pihak) telah berlaku sampai ke pusat (bandar).

Lapor BBC, pegawai di sana mendakwa beribu-ribu penduduk telah dibawa secara paksa ke bandar-bandar Rusia, namun agensi berita itu belum mengesahkan dakwaan tersebut setakat ini.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan UK berkata, Rusia telah gagal mengawal udaranya dan bergantung pada senjata yang dilancarkan dari ruang udaranya sendiri.

Sementara itu, Rusia juga turut berjaya memasuki bandar pelabuhan itu setelah berjuang berhati-hari lamanya sebelum ini.

Merujuk CBS News, Rusia memasuki bandar berkenaan dengan memotong laluan dari kawasan Laut Azov dan memusnahkan sebuah kilang keluli secara besar-besaran.

“Kejatuhan Mariupol akan menjadi kemenangan penting tetapi ‘mahal’ bagi Rusia, yang kemaraan sebahagian besarnya terhenti di luar bandar-bandar utama lain lebih tiga minggu selepas pencerobohan darat terbesar di Eropah sejak Perang Dunia II,” lapor CBS News.

Sumber: BBC News / CBS News