Pejam celik-pejam celik, sesi persekolahan secara bersemuka sudah lima bulan ditutup dek kerana wabak Covid-19 yang menyerang dunia. Walaupun sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan di rumah (PdPR), namun aura dan keseronokan itu berbeza dengan pembelajaran secara bersemuka. Murid-murid juga pastinya sudah rindu sekolah dan rakan-rakan yang lain.
Pada hari ini, murid-murid tahap 1 yang melibatkan tahun 1,2 dan 3 di sekolah-sekolah Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka telah memulakan sesi persekolahan secara bersemuka. Sekolah-sekolah tersebut mula beroperasi setelah dua minggu negeri-negeri berkenaan memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Pengoperasian sekolah itu juga telah melibatkan murid tingakatan 3 dan tingkatan 4 di sekolah menengah.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa kehadiran murid tahap 2 iaitu yang melibatkan tahun 4,5 dan 6 di sekolah rendah serta kelas peralihan yang melibatkan tingkatan 1 dan 2 di sekolah menengah bagi negeri-negeri yang terlibat akan bermula pada 8 November ini. Kehadiran murid bagi kumpulan 2 tersebut adalah seminggu selepas kumpulan pertama memulakan sesi persekolahan secara bersemuka terlebih dahulu.
Pada 18 Oktober lalu, terdapat juga kumpulan murid yang memulakan sesi persekolahan secara bersemuka terlebih dahulu dalam negeri-negeri terbabit. Kumpulan murid ini melibatkan prasekolah, murid berkeperluan khas (MBK) di sekolah kebangsaan pendidikan khas, sekolah menengah kebangsaan pendidikan khas, sekolah menengah pendidikan khas vokasional dan program pendidikan khas integrasi, tingkatan 6 semester 2 dan prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia.
Selain itu, kumpulan sebelum itu juga melibatkan kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya/sekolah harian/sekolah swasta, International Baccalaureate Diploma serta kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) dan kelas peperiksaan antarabangsa lain.
Menurut KPM, murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa dibenarkan beroperasi tanpa penggiliran di semua negeri mulai 8 November ini sekiranya institusi pendidikan tersebut sudah mencapai kadar vaksinasi lengkap sekurang-kurangnya 90 peratus.
Bagi negeri Johor dan Terengganu yang baru memasuki Fasa 4 pada 25 Oktober lepas, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM hanya akan bermulakan pada 7 November. Kehadiran akan dimulakan dengan murid tahap 1 sekolah rendah dan murid tingkatan 3 dan 4 sekolah menengah. Namun begitu, sesi persekolahan tetap akan bermula pada 8 November berikutan cuti tambahan yang diperuntukkan dalam takwim KPM sempena perayaan Deepavali pada 7 November nanti.
Kehadiran bagi murid tahap 2 sekolah rendah iaitu tahun 4,5 dan 6 serta kelas peralihan tingakatan 1 dan 2 sekolah menengah bagi negeri Johor dan Terengganu ini akan bermula pada 14 November.
KPM menetapkan langkah ini kerana ianya mengikut prosedur yang telah ditetapkan dimana sekiranya sesebuah negeri telah beralih ke fasa seterusnya, maka pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM mengikut ketetapan fasa baharu akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan ke fasa tersebut.
Sumber: Utusan Malaysia