Masyarakat perlu mengurangkan penularan jangkitan COVID-19 bagi menyekat varian baharu, daripada terus merebak.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia penting kerana penularan tersebut didakwa mampu menggandakan lagi sebaran virus berkenaan.
“Penularan dan jangkitan dalam masyarakat akan memberi peluang kepada virus ini untuk replikasi dan berganda.
“Lebih banyak replikasi dan gandaan lebih banyak ruang untuk bermutasi,” katanya dalam kenyataan di Twitter hari ini.
Imbas kembali, semalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kes pertama varian Omicron di negara ini dikesan.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, kes tersebut melibatkan seorang pengembara bukan warganegara yang baru pulang dari Afrika Selatan dan transit di Singapura sebelum masuk ke negara ini.
Pengembara terbabit merupakan seorang pelajar berusia 19 tahun di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak dan kesnya dikesan di pintu masuk antarabangsa (PMA) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sumber: Twitter Dr. Noor Hisham