Tawaran diplomatik terakhir untuk mengelak perang di antara Rusia dan Ukraine mungkin hanya mempunyai beberapa jam untuk berjaya apabila Boris Johnson dan Joe Biden dilaporkan mengeluarkan ‘amaran terakhir’ kepada Vladimir Putin untuk berundur.
Rakyat Britain yang masih berada di Ukraine pada malam tadi telah diberi amaran untuk meninggalkan negara tersebut serta-merta. Hal ini berikutan kebimbangan bom yang akan dijatuhkan sejurus pencerobohan Rusia ke Ukraine yang dilihat mungkin berlaku.
Puluhan ribu tentera Rusia dilaporkan berada di kawasan sempadan Ukraine dan mungkin menyerang negara berkenaan pada bila-bila masa, termasuk di ibu kota Kyiv.
BACA: Pegawai AS Sahkan Tentera Rusia Kini Telah Bergerak Ke “Attack Position”
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson bersama Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dalam satu sesi panggilan selama 40 minit bersetuju bahawa masih ada masa untuk menghalang Rusia dari melancarkan serangan terhadap Ukraine.
Menurut jurucakap yang mewakili pemimpin-pemimpin tersebut, kedua mereka menekankan bahawa Rusia bakal berdepan krisis jangka panjang sekiranya mereka tidak berundur.
“Para pemimpin menegaskan bahawa sebarang tindakan menceroboh masuk ke Ukraine bakal mengakibatkan krisis berlanjutan terhadap Rusia, ditambah pula dengan kerosakan yang berlaku kepada Rusia serta dunia.
“Mereka (Johnson dan Biden) bersetuju bahawa sekutu barat perlu kekal bersatu dalam menghadapi ancaman, termasuk mengenakan sekatan jika pencerobohan Rusia semakin agresif,” jelas jurucakap tersebut memetik laporan Mirror.
Menurut Mirror, Johnson berkata bukti kerajaan pimpinan Presiden Vladimir Putin itu sedang merancang sesuatu adalah cukup jelas. Namun beliau masih berharap Rusia bakal membatalkan rancangan mereka.
“Hal ini sangat merbahaya, situasi juga sukar. Kita sedang berada di hujung tanduk, tapi masih ada masa untuk Presiden Putin berundur,” kata Johnson memetik laporan Mirror.
Namun begitu, Menteri Pertahanan Britain, James Heappey mempunyai tanggapan yang berbeza di mana beliau khuatir Putin bakal mengabaikan rundingan setelah pemimpin itu mengarahkan pihak Britain untuk keluar dari Ukraine.
“Beberapa minit lepas Putin keluarkan arahan, peluru berpandu dan bom berkemungkinan mendarat di bandar-bandar Ukraine.
“Hal ini bermakna, warganegara British perlu keluar (dari Ukraine) selagi ada peluang.
“Ia bukan sesuatu yang bakal terjadi dalam masa tiga bulan, ia juga bukan sesuatu yang akan disusuli amaran lanjut bila ia bakal terjadi,” ujar Heappey memetik laporan Mirror.
Sementara itu, Johnson dilapor mempengerusikan mesyuarat tergempar Cobra hari ini untuk berbincang tentang krisis Rusia-Ukraine dan polis tentera (MP) bakal dikerahkan sekiranya Rusia melancarkan serangan.
Semalam, Moscow (ibu negara Rusia) dilaporkan telah menggerakkan pasukan pertahanan mereka ke Ukraine, yang disifatkan sebagai pasukan ketenteraan terbesar setelah Perang Dunia Kedua.
Sumber: Mirror