
Sejauh 22,387km, Ini Mungkin Laluan Terpanjang Boleh Dilalui Dengan Berjalan Kaki
Satu laluan berjalan kaki yang didakwa terpanjang di dunia, merentasi 16 buah negara pernah menjadi tular di media sosial sebelum ini.
Memetik Skratch, trek ini telah dikemukakan oleh seorang pengguna Reddit, (cbz3000) dengan berpandukan Google Maps pada 2019.
Pengguna Reddit berkenaan berkata, laluan berjalan kaki terpanjang di dunia itu tidak memerlukan penggunaan sebarang kenderaan lain sebagai perantaraan antara lokasi-lokasinya.
Laluan dahsyat ini bakal membawa pengembara yang gagah dan berani merentasi pelbagai negara. Jika bermula dari Cape Town di Afrika Selatan, pengembara perlu merentasi beberapa negara antaranya Sudan, Mesir, Syria dan Ukraine.

Perjalanan tersebut akan berakhir di Magadan, Rusia.
Menurut brilliantmaps, perjalanan tersebut akan mengambil masa selama 4,492 jam dengan jarak sejauh 22,387 kilometer. Ini bermakna, pengembara perlu berjalan kaki kira-kira selama 187 hari.
Walau bagaimanapun, pengiraan ini hanya terpakai jika anda berjalan kaki tanpa henti. Jika kita membuat anggaran tempoh 8 jam untuk setiap hari, perjalanan tersebut boleh memakan masa sehingga 562 hari.
Dalam laluan tersebut, pengembara turut bersempatan melawat beberapa tarikan pelancong seperti Air Terjun Victoria (Zambia), Piramid Agung (Mesir) dan lain-lain lagi.
Dalam masa yang singkat, peta laluan tersebut telar tular di media sosial sehingga dikongsikan menerusi beberapa laman sesesawang.
Walaupun laluan ini mula meraih populariti, tiada sesiapa yang mengesahkan kesahihahnya, mahupun mencuba laluan tersebut.
Tidak menafikan idea trek yang dikemukakan oleh pengguna Reddit itu, namun ada pihak yang beranggapan ia hampir mustahil untuk dicuba oleh mana-mana manusa.
“Terdapat perbezaan ketara antara benda antara sesuatu yang boleh dilakukan dan sesuatu yang boleh dicapai. Terdapat pelbagai faktor yang menyukarkan perjalanan dan tidak semua dapat mencapainya,” kata Jeffrey Weinstein, operator perubatan di Global Rescue.
Antaranya faktornya adalah kesukaran dari segi logistik. Katanya, untuk berjalan kaki dalam jarah sejauh itu dan merentasi pelbagai bentuk muka bumi, banyak peralatan khas yang perlu dibawa. Misalnya, peralatan ketika merentasi kawasan padang pasir dengan negara bersalji adalah tidak sama.
Selain itu, mereka juga perlu merentasi pelbagai negara yang mempunyai undang-undang sendiri termasuk undang-undang imigresen. Justeru, banyak dokumen yang perlu disediakan dan ada kemungkinan kemudahan-kemudahan untuk menguruskan dokumen itu terletak jauh dari idea trek yang dikemukakan.
Selain itu, pengembara turut berhadapan dengan pelbagai risiko ketika mengembara seperti diserang haiwan liar, wabak penyakit, perang saudara dan lain-lain lagi. Perkara ini termasuklah kegiatan jenayah seperti perdagangan manusia, penipuan dan sebagainya.
Di samping itu, mereka turut berhadapan dengan cabaran-cabaran lain seperti halangan bahasa, kejutan budaya serta mengalami beberapa masalah kekurangan nutrisi dan kecederaan.
Sumber: Skratch & Global Rescue