
Sedia ‘Tukar’ Dengan Pulisic, Chelsea Berminat Dapatkan Harry Maguire?
Khabar angin bertiup bahawa Chelsea bersedia untuk mengambil keputusan yang mengejutkan semua pihak apabila dilapor mempertimbang untuk mendapatkan kapten kesayangan peminat Manchester United, Harry Maguire.
Kelab berkenaan dikatakan akan meletakkan syarat tersebut sekiranya United benar-benar mahu mendapatkan pemain sayapnya, Christian Pulisic, lapor Daily Mail.
Harry Maguire sebelum ini sering menjadi pemain yang paling mencuri perhatian apabila setiap kali turun beraksi. Kehadiran Maguire dikatakan akan membantu mengukuhkan barisan pertahanan Chelsea yang kehilangan Antonio Rudiger selepas pemain antarabangsa Jerman itu mengambil keputusan untuk berpindah ke Real Madrid.
Walau bagaimanapun, Chelsea menetapkan bahawa Wesley Fofana yang beraksi bersama Leicester City ketika ini sebagai sasaran utamanya di bahagian pertahanan. Namun begitu, usaha untuk mendapatkan pertahanan itu berdepan kesukaran ketika ini dan ia membuatkan pengurusan The Blues mempertimbangkan untuk membawa masuk Maguire.
Namun sekiranya Chelsea berjaya mendapatkan Fofana, tidak dapat dipastikan sama ada Chelsea akan meneruskan usaha membawa masuk bintang utama skuad England itu.
Terdahulu, Erik Ten Hag dilapor mempertimbangkan untuk menyisihkan Maguire daripada kesebelasan utama ketika turun menentang Liverpool awal pagi Selasa (waktu Malaysia) nanti. Ia susulan pengurus berasal dari Belanda itu mahu menggandingkan Raphael Varane dan Lisandro Martinez sebagai bek tengah untuk berdepan dengan musuh tradisi itu.
Jika Maguire digugurkan, ia akan menimbulkan keraguan besar terhadap masa depannya di United. Dengan Piala Dunia hanya berbaki tiga bulan lagi, prospek memainkan peranan sebagai pemain simpanan di peringkat kelab mungkin membimbangkan Maguire.
Terdahulu, United berjaya membawa masuk seorang lagi pemain berkualiti, Casemiro sekaligus akan memberikan tonik tambahan kepada skuad yang sekian lama menghadapi masalah di bahagian tengah bertahan sejak beberapa musim lalu.
Sumber: Daily Mail, Sky Sport