Susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangkakan berlangsung 20 November ini, Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin melalui sebuah kenyataan media hari ini memaklumkan, sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan mulai 25 Oktober hingga 27 November 2021.
Hal ini kerana, berdasarkan pemantauan situasi COVID-19 dalam negara, didapati antara penyumbang kepada peningkatan kes dan kluster di Malaysia adalah berkait dengan aktiviti perhimpunan atau majlis sosial yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).
Tambah Khairy, sebarang perhimpunan atau majlis sosial yang dianjurkan tanpa mematuhi SOP termasuk penjarakan fizikal yang sukar diamalkan akan meningkatkan risiko penularan jangkitan COVID-19.
KKM menjangkakan banyak perhimpunan serta majlis sosial berkaitan dengan pilihan raya yang akan diadakan melibatkan ramai individu berkumpul (mass gathering) dari seluruh negara.
“Memandangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 masih tinggi, terutama dengan penularan varian Delta dalam komuniti dan peningkatan bilangan kes COVID-19 baharu yang dilaporkan, aktiviti tersebut akan meningkatkan lagi risiko penularan jangkitan COVID-19 dalam komuniti,” jelas Khairy dalam kenyataan tersebut.
Larangan ini juga selari dengan senarai aktiviti yang tidak dibenarkan (senarai negatif) dalam Pelan Pemulihan Negara SOP Fasa 4 yang terkini iaitu:
“Apa-apa aktiviti yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan.”
Sebarang pelanggaran kepada peruntukan ini, individu, penganjur atau organisasi boleh dikenakan tindakan perundangan seperti kompaun atau tindakan pendakwaan di mahkamah, sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Sumber: Bernama