
Sebak, Penduduk Gaza Kongsi Akhirnya Dapat Makan Ayam, Shawarma
Seorang penduduk Gaza baru-baru ini tular di media sosial berkongsi momen menyentuh hati apabila dia bersama ahli keluara dapat menikmati hidangan ayam selepas sekian lama.
Kongsi pemuda itu di X @MahmoudMassri15, dia meluahkan rasa syukur meskipun ia merupakan kegembiraan kecil, namun besar bagi mereka.
“Hari ini merupakan hari yang sangat istimewa untuk kami di Gaza. Keluarga saya dan lima keluarga lain akhirnya dapat makan ayam selepas sekian lama.
“Ia mungkin nampak biasa bagi sesetengah orang, tapi bagi kami, ini satu impian yang jadi kenyataan selepas bertahun-tahun penuh kesusahan.
“Hari ini kami merasai momen gembira yang jarang dinikmati, makanan dan rasa syukur serta penuh harapan,” tulisnya pada kaspyen.
Sementara itu, dalam satu hantaran di pengguna X @tala_darwish turut berkongsi momen pertama kali mencicipi shawarma selepas lapan bulan.
“Shawarma selepas lapan bulan, saya tak mampu berkata-kata,” tulisnya
Sebelum ini, tular satu video memaparkan wanita berkongsi momen mendengar laungan azan kembali berkumandang di ruang langit Gaza selepas perjanjian gencatan senjata.
Dalam klip yang dikongsikan oleh pengguna TikTok @rahaf.agha1 memaparkan riak wajahnya yang jelas tidak dapat menahan sebak selepas sekian lama tidak mendengar laungan azan di kawasan itu.
Momen itu, turut dikongsikan bersama ahli keluarga yang turut dipercayai berada di dalam rumah.
“Semuanya sudah berakhir. Kami dengar berita itu (gencatan senjata), tapi kami tak percaya ia benar-benar akan berlaku, tapi ia tetap terjadi. Dan saya berharap ini adalah pengakhirannya,” luahnya.
Sementara ribuan penduduk gaza kembali menjejakkan semula kaki di masjid-masjid bagi menunaikan solat Jumaat pertama selepas gencatan meskipun struktur konkrit itu berada dalam keadaan daif, lapor AFP pada minggu lalu.
Sumber: X @MahmoudMassri15, X @tala_darwish