Hari pertama Ketua Polis Tijuana, Mexico yang baharu bertugas dilaporkan telah disambut dengan ‘pemberian’ satu kepala manusia sebagai tanda selamat datang daripada kumpulan kartel dadah disana.
Kepala tersebut telah ditemui dibungkus dalam plastik beg berwarna hitam yang ditinggalkan di sebuah jalan. Selain daripada itu juga, mereka turut menemui bersama mesej yang menuduh ketua polis baharu itu sebagai “penculik yang menurut arahan daripada kartel Sinaloa”.
“Tijuana akan berdarah disebabkan oleh penculik ini,” tulis mesej ugutan yang ditujukan kepada Ketua Polis baharu bernama Rafael Vázquez yang telah berkhidmat dalam pasukan polis selama 19 tahun itu.
Malam berikutnya, dua lagi mesej dilaporkan ditemui di kawasan yang berbeza di bandar tersebut. Mesej ugutan tersebut sama dengan yang sebelumnya namun kali ini ianya ditemui bersama dengan daging yang dipercayai daripada daging haiwan.

Tijuana adalah laluan utama bagi aktiviti penyeludupan dadah ke Amerika Syarikat. Bandar tersebut secara konsisten berada dalam senarai 10 bandar yang paling ganas di dunia. Majoriti keganasan yang terdapat dalam bandar tersebut datang daripada pertempuran diantara kartel dadah pesaing yang turut berjuang untuk menguasai bandar berkenaan.
Laporan tempatan mengesyaki bahawa mesej tersebut datang daripada musuh ketat kartel Sinaloa yang dipimpin oleh Joaquin “El Chapo” Guzmán yang telah diekstradisi ke Amerika Syarikat dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atas tuduhan penyeludupan dadah.
Ketua Polis Tijuana itu masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan secara rasmi berhubung kejadian itu namun Datuk Bandar Tijuana, Monserrat Caballero menegaskan bahawa beliau akan memberikan sokongan penuh ke atas ketua polis tersebut dalam satu sidang media yang diadakan.
“Jika ada ancaman, itu kerja dia, dan bagi saya pula, ianya adalah tanda bahawa kumpulan kartel itu sedang takut,” ujarnya.
Menurut Vice, ketua polis Tijuana itu pernah dihimpit kontroversi pada sebelum ini. Pada April 2017, sebuah banner yang digantung oleh kumpulan kartel di sebuah jambatan menuduhnya dan pegawai polis lain “bersubahat dengan Kartel Sinaloa untuk membuka jalan bagi melakukan aktiviti-aktiviti haram seperti rasuah, peras ugut, pencurian dan penyalahgunaan kuasa.”
Pada 2019, beliau juga turut pernah dituduh menjual jawatannya di dalam pasukan polis serta beberapa tuduhan salah guna kuasa yang lain termasuk mendera dan mencuri. Walau bagaimanapun, tiada dakwaan rasmi yang dikenakan ke atasnya.
Caballero menyatakan bahawa beliau tetap akan terus menyokong ketua polis Tijuana yang baharu itu selagi tidak ada dakwaan rasmi dikenakan oleh pendakwa raya ke atasnya.
Tuduhan jenayah terhadap anggota polis adalah suatu perkara yang biasa bagi negara yang dikawal oleh kumpulan jenayah terancang itu. Ianya akan dibuat kepada sesiapa sahaja yang mereka rasa bakal mengancam operasi organisasi mereka.
Namun begitu, Mexico mempunyai sejarah panjang berkenaan pegawai tertinggi yang didapati menerima rasuah daripada kartel bagi mendiamkan diri dalam aktiviti haram mereka.
Salah satu contoh kes berprofil tinggi adalah kes Genaro Garcia Luna. Beliau adalah seorang bekas menteri keselamatan awam Mexico yang telah berkhidmat daripada tahun 2006 sehingga 2012. Pada Disember 2019, kerajaan Amerika Syarikat telah menuduh beliau terlibat dalam konspirasi penyeludupan dadah dan membuat kenyataan palsu.
Menurut satu kenyataan, Garcia Luna juga turut dituduh menerima jutaan dollar daripada El Chapo semasa pasukan polis Mexico berada di bawah pentadbirannya. Dia dilaporkan mengaku tidak bersalah dan kini menunggu untuk dibicarakan di New York.
Sumber: Vice