sebab china belajar malaysia
Gambar: BERNAMA

Sebab Sebenar Pelajar China Pilih Datang Belajar Di Malaysia 

Hannah

Sebab Sebenar Pelajar China Pilih Datang Belajar Di Malaysia

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia semakin menjadi pilihan utama pelajar antarabangsa dari China.

Malah, sejak 2019 lagi, China telah muncul sebagai penyumbang terbesar pelajar luar negara di Malaysia, mengatasi ‘negara tradisi’ seperti Bangladesh, Indonesia dan Pakistan.

Pada 2023 sahaja, seramai 44,043 pelajar dari China mendaftar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta Malaysia. Menurut CNA, ini adalah bersamaan 38.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar antarabangsa.

Lebih menarik, angka itu menunjukkan peningkatan hampir lima kali ganda berbanding tahun 2019, tambah CNA.

Persoalannya, mengapa semakin ramai pelajar China memilih Malaysia berbanding negara popular lain seperti Amerika Syarikat (AS), UK, Australia atau Kanada?

Faktor Luar: Dasar imigresen ketat & ketegangan geopolitik

Antara sebab utama ialah perubahan dasar di negara-negara Barat. Negara yang dulunya terkenal sebagai destinasi impian pelajar luar kini semakin mengetatkan syarat kemasukan.

Lapor CNA, antara sebab lain adalah:

1. Visa semakin mahal dan rumit – ada had bilangan pelajar, kos visa meningkat, malah peluang kerja selepas tamat belajar juga terhad.

2. Bias anti-China (Sinophobia) – sejak era COVID-19, isu diskriminasi semakin ketara, membuatkan pelajar dan ibu bapa rasa tidak selamat.

3. Ketegangan politik – hubungan China dengan AS dan sekutunya tidak stabil. Misalnya, pada 2023, AS menolak sehingga 36 peratus permohonan visa pelajar China. Ini menyebabkan jumlah pelajar China di universiti AS merosot 25 peratus sejak 2019.

Selain itu, Australia dan Kanada turut memperkenalkan sekatan untuk pelajar China yang mahu belajar dalam bidang teknologi canggih.

Keadaan ini menjadikan negara Barat semakin ‘tidak mesra’, malah dianggap berisiko untuk masa depan pelajar.

Tarikan Malaysia: Dekat, mesra & berpatutan

Sebaliknya, Malaysia dilihat sebagai destinasi yang lebih mesra dan selesa. Tambah CNA, ada beberapa sebab mengapa Malaysia semakin digemari pelajar dari China:

1. Kebudayaan yang hampir serupa

Komuniti Cina Malaysia membuatkan pelajar baharu dari China lebih mudah menyesuaikan diri. Bahasa Mandarin, makanan, adat, malah dialek tertentu membuatkan Malaysia terasa seperti rumah kedua yang tidak asing.

2. Kos hidup & yuran lebih rendah

Berbanding negara Barat, kos pendidikan dan sara hidup di Malaysia jauh lebih mampu milik. Ditambah pula dengan kedudukan geografi yang dekat, pelajar boleh kerap pulang ke tanah air dengan kos penerbangan yang berpatutan.

3. Kualiti pendidikan bertaraf antarabangsa

Universiti Malaysia semakin mendapat tempat dalam ranking dunia, selain menawarkan program pengajian dalam bahasa Inggeris yang diiktiraf di China dan di peringkat global.

4. Hubungan diplomatik erat

Kerjasama erat Malaysia-China dalam bidang pendidikan turut memainkan peranan.

Penubuhan Xiamen University Malaysia (XMUM) pada 2015, misalnya, menjadi simbol kukuh hubungan dua hala. Setiap tahun, XMUM menerima sekitar 500 pelajar dari China terus melalui sistem peperiksaan “gaokao”.

Tambahan pula, dengan isu pengangguran graduan di China yang semakin meningkat, ramai pelajar mencari kelayakan pascasiswazah luar negara untuk meningkatkan kebolehpasaran kerja. Malaysia muncul sebagai pilihan ideal untuk tujuan itu.

Kerajaan Malaysia juga menambah tarikan dengan melanjutkan kemudahan “Graduate Pass” untuk pelajar China sehingga Disember 2026. Ini membolehkan mereka tinggal dan mencari pengalaman kerja selepas tamat belajar.

Malaysia semakin jadi tumpuan

Trend ini menunjukkan bahawa aliran mobiliti pelajar antarabangsa semakin beralih ke Asia, khususnya Asia Tenggara.

Malaysia kini berada di posisi strategik sebagai pusat pendidikan serantau yang bukan sahaja berdaya saing dari segi kos. Malah, ia juga mesra, selamat dan dekat di hati pelajar China.

Namun, jelas CNA, dengan kemasukan pelajar yang semakin ramai, institusi pengajian tinggi Malaysia perlu bersedia menyediakan sokongan tambahan. Contohnya, kelas bahasa Inggeris, bimbingan kerjaya dan program integrasi sosial.

BACA: Maksud Sebenar “Job Hugging”, Trend Baru Di Tempat Kerja

Sumber: CNA