Sebab Sebenar Kereta Api Tiada Tali Pinggang Keledar
Pernahkah anda terfikir mengapa kereta api tidak dilengkapi dengan tali pinggang keledar?
Walaupun kebanyakan kenderaan berkelajuan tinggi lain mewajibkan penggunaan tali pinggang keledar, hakikatnya kereta api berfungsi dengan cara yang berbeza.
1. Risiko kemalangan kereta api sangat rendah
Kajian menunjukkan bahawa risiko menaiki kereta api sebenarnya amat rendah berbanding kenderaan lain, lapor Mental Floss.
Kemalangan besar seperti kejadian tren tergelincir di Philadelphia pada 2015 yang mengorbankan lapan nyawa sememangnya tragis. Namun, kejadian sebegitu sangat jarang berlaku.
Sebagai perbandingan, jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya adalah 10 kali ganda lebih tinggi berbanding semua bentuk pengangkutan awam termasuk bas, trem dan kereta api.
Justeru, pakar keselamatan pengangkutan berpendapat bahawa tali pinggang keledar tidak akan memberi kesan statistik yang signifikan terhadap keselamatan tren.
2. Reka bentuk dan pergerakan kereta api tidak sesuai
Kereta api tidak bergerak seperti kereta atau kapal terbang. Ia bukan sahaja bergerak ke hadapan, tetapi juga ke sisi akibat hentakan rel.
Oleh itu, tali pinggang dua titik seperti di dalam kapal terbang tidak mampu melindungi penumpang dengan berkesan.
Manakala tali pinggang tiga titik (seperti di dalam kereta) pula sukar dipasang kerana memerlukan struktur tempat duduk yang lebih kukuh dan mahal.
Ini bermakna keseluruhan bahagian dalam gerabak perlu diubah suai, sesuatu yang tidak praktikal dari segi kos dan masa.
Selain itu, kebanyakan tren direka untuk membawa ramai penumpang termasuk yang berdiri, terutamanya di kawasan bandar.
Jika semua tempat duduk dipasang tali pinggang keledar, kapasiti penumpang akan berkurang dengan ketara.
Lebih sukar lagi, tiada jaminan bahawa semua penumpang akan memakainya, malah proses naik dan turun tren juga boleh menjadi lebih lambat, jelas Mental Floss.
3. Boleh menyebabkan risiko lain
Ironinya, pemasangan tali pinggang keledar mungkin menjadikan perjalanan kereta api lebih berbahaya bagi sesetengah penumpang.
Menurut laporan Transportation Research Board Amerika Syarikat (2007), jika tren dilengkapi dengan tempat duduk keras dan tali pinggang keledar, penumpang yang tidak memakainya boleh terpelanting ke hadapan dan menghentam penumpang lain yang sedang memakai tali pinggang.
Kajian oleh UK Rail Safety and Standards Board juga mendapati keadaan ini boleh meningkatkan risiko kecederaan bagi penumpang yang tidak menggunakan tali pinggang, jelas Mental Floss.
4. Fokus keselamatan sebenar: Teknologi moden
Daripada memasang tali pinggang keledar, pakar mencadangkan agar syarikat dan kerajaan memberi tumpuan kepada sistem keselamatan automatik seperti Positive Train Control (PTC) dan Advanced Obstacle Detection.
Teknologi ini mampu memantau keadaan landasan, mengesan halangan serta mengawal kelajuan tren secara automatik bagi mengelak kemalangan.
Dalam erti kata lain, cara terbaik untuk memastikan keselamatan penumpang bukan dengan mengikat mereka di tempat duduk. Sebaliknya, dengan memastikan tren tidak terbabas sejak awal lagi, tambah Mental Floss lagi.
Hakikatnya, kereta api kekal antara pengangkutan paling selamat di dunia. Walaupun tali pinggang keledar amat penting di jalan raya dan di udara, ia tidak semestinya sesuai di atas landasan.
Menurut Mental Floss, reka bentuk tren, cara pergerakan, kadar kemalangan yang rendah serta faktor praktikal menjadikan pemasangan tali pinggang keledar bukanlah langkah yang bijak.
BACA: Ini Sebab Sebenar Kenapa Ada Cermin Dalam Lif
Sumber: Mental Floss
CANVA
, rupanya ini sebab sebenar kereta api tiada tali pinggang keledar