Tiada Kategori

Scoot Mulakan Penerbangan Sulung Ke Kota Bharu, Malaysia

Syamimi

Scoot Mulakan Penerbangan Sulung Ke Kota Bharu, Malaysia

Scoot, anak syarikat tambang rendah Singapore Airlines (SIA), memulakan khidmat penerbangan ke Kota Bharu pada 26 Oktober 2025. Dengan Kota Bharu sebagai destinasi terbaru tambahan, Scoot kini beroperasi ke 12 destinasi di seluruh Malaysia termasuk Ipoh, Kota Kinabalu, Kuala Lumpur, Kuching, Kuantan, Pulau Langkawi, Melaka, Miri, Pulau Pinang, Sibu dan Subang.

Sambutan Pancuran Air di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra

Scoot akan mengoperasikan penerbangan dua kali seminggu antara Kota Bharu dan Singapura dengan pesawat Embraer E190-E2. Direka untuk keselesaan tambahan, pesawat berkapasiti 112 tempat duduk ini menampilkan susunan lajur tempat duduk 2-2 satu kelas penerbangan, enjin yang lebih senyap dan tingkap kabin yang lebih luas.

Bagi meraikan detik penting ini, Tourism Malaysia bersama-sama pihak berkuasa tempatan lapangan terbang telah menganjurkan sebuah acara sambutan ketibaan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra. Penumpang yang tiba di Kota Bharu disambut meriah dengan persembahan budaya dan cenderamata bagi meraikan penerbangan sulung ini.

Encik Calvin Chan, Ketua Pegawai Komersial Scoot berkata, “Kami teruja untuk melancarkan penerbangan ke Kota Bharu, sekaligus mengukuhkan kehadiran Scoot di Malaysia dan meningkatkan keterhubungan rantau.

Untuk warga tempatan dan penduduk di Pantai Timur Malaysia, laluan penerbangan baru ini akan menawarkan lebih kemudahan untuk terbang ke Singapura dan rangkaian luas Kumpulan SIA yang lain.

Kami akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi perdagangan dan pelancongan untuk meningkatkan jumlah penerbangan masuk ke Malaysia.”

Tambang tiket satu hala Kelas Ekonomi dari Kota Bharu ke Singapura termasuk cukai bermula pada MYR125, sedia untuk tempahan melalui laman web Scoot, aplikasi mudah alih dan saluran jualan yang dilantik.