Scammer Pesanan Kerajaan, Kes Penipuan Melibatkan Penyalahgunaan Nama Pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
PUTRAJAYA, 28 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ingin memaklumkan bahawa, tiada sebarang penglibatan pegawai Agensi ini dalam kegiatan penipuan Pesanan Kerajaan (LO) sebagaimana aduan yang diterima baru-baru ini.
Maritim Malaysia turut ingin menegaskan bahawa Agensi ini tidak pernah melantik mana-mana pihak secara tidak rasmi untuk urusan pembekalan tanpa melalui prosedur yang sah dan ditetapkan oleh Kerajaan.
Sehubungan itu, orang ramai dan para pembekal diingatkan agar berwaspada serta tidak mudah terpedaya dengan LO yang mencurigakan.
Sebarang dokumen LO yang diterima hendaklah disemak dan disahkan terlebih dahulu dengan pihak Maritim Malaysia.
Sekiranya terdapat sebarang cubaan penipuan atau penggunaan nama pegawai Agensi ini tanpa kebenaran, sila laporkan segera kepada pihak berkuasa atau hubungi talian kecemasan 999.
Orang ramai juga dinasihatkan agar melayari portal rasmi Maritim Malaysia di www.mmea.gov.my dan akaun media sosial rasmi untuk mendapatkan maklumat tepat dan terkini Agensi ini.
(LAKSAMANA MARITIM DATUK HAJI MOHD ROSLI BIN ABDULLAH)
Ketua Pengarah
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia