Gambar: AFP

“Scalper” Buat Duit, Jual Semula Tiket England vs Perancis Pada Harga Cecah RM 54 Ribu

Nur Syahirah Zainoor Hisham

“Scalper” Buat Duit, Jual Semula Tiket England vs Perancis Pada Harga Cecah RM 54 Ribu

Beberapa individu dilapor mengambil kesempatan untuk membuat duit apabila bertindak menjual tiket perlawanan suku akhir Piala Dunia Qatar 2022 dengan harga berlipat kali ganda.

Menurut laporan media di England, tiket perlawanan yang mempertemukan negara itu dengan Perancis dilapor dijual semula pada harga nilai hampir £10,000 (RM54,161).

Menurut Daily Mail, hampir 800 tiket Piala Dunia telah muncul di atas talian bagi tujuan jualan semula dan beberapa tiket yang telah dijual dengan harga lebih daripada 28 kali ganda berbanding nilai asal.

Dua keping tiket bagi kategori dua (harga asal £175 / RM947) dijual semula pada harga £5,000 (RM 27,080) setiap satu berserta caj tempahan sebanyak £709 (RM3,840).

England sebelum ini berjaya mara ke pusingan suku akhir selepas berjaya menundukkan Senegal, 3-0 di peringkat 16 pasukan, manakala Perancis pula melangkah selepas membenam cabaran Poland.

Dengan kedua-dua pasukan merupakan nama besar di pentas bola sepak dunia dan sedang mempamerkan aksi terbaik dalam kejohanan kali ini, ramai peminat yang tidak mempunyai tiket dilihat terdesak untuk menyaksikan perlawanan tersebut di stadium.

Sekitar 9,500 penyokong England dijangka berada di Stadium Al Bayt pada malam Sabtu ini, lokasi dimana perlawanan tersebut dijadualkan akan berlangsung.

Gambar via Joe

Walaupun England bakal menentang salah satu pasukan terkuat dalam kejohanan itu, penjaga gol England, Jordan Pickford yakin bahawa dia dan rakan sepasukannya mampu menewaskan pasukan yang pernah menjadi juara tersebut.

”Kami tahu bahawa ini akan menjadi perlawanan yang sukar, tetapi inilah bola sepak bagi Piala Dunia.

“Anda perlu menikmati detik-detik ini. Anda perlu mengambil setiap peluang yang anda dapat. Anda mungkin tidak mendapat peluang lagi untuk mengalahkan Perancis,” katanya.

BACA: Dilengkapi Teknologi Terbaru, Ramai Tak Tahu Bola Piala Dunia Qatar Kena “Charge” Sebelum Guna

Sumber: Joe.co.uk