Tular sebentar tadi mengenai kisah sayu seorang wanita yang meninggal dunia sewaktu sementara menanti anaknya pulang dari sekolah.
Wanita terbabit ditemukan maut dalam keretanya, selepas mengadu sesak nafas semasa hendak menjemput anaknya pulang di kawasan tempat letak kereta Sekolah Kebangsaan (SK) Temin, Jerantut dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Mazlan Hassan berkata mangsa Mimi Sunarty Ideris, 41, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang menerima panggilan kecemasan daripada abang mangsa.
Abang mangsa menurut Mazlan, berkhidmat di sekolah itu sebagai pengawal keselamatan dan sempat berbual dengan mangsa, yang datang menjemput anak lelakinya yang belajar di darjah empat sekitar 1.10 tengah hari.
“Abang mangsa mendakwa arwah yang menaiki kereta Proton Persona secara tiba-tiba mengadu sesak nafas semasa sedang berbual dan meminta bantuannya untuk berjumpa guru dan mengambil anaknya keluar lebih awal.
“Semasa abangnya dalam perjalanan masuk ke sekolah, mangsa menghubungi telefon bimbitnya memberitahu keadaannya semakin teruk dan minta supaya dihubungi ambulans,” katanya kepada pemberita menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Mazlan berkata keterangan keluarga mangsa memaklumkan arwah yang beralamat di Felda Sungai Rentang, Jerantut, menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.
Laporan forensik yang dijalankan di Hospital Jerantut juga mengesahkan tiada unsur jenayah berlaku dan kes dikategorikan sebagai mati mengejut.
Sumber: BERNAMA