Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah memohon pengampunan pada 2018 kerana kesalahannya kepada Sultan Muhammad V yang merupakan Yang di-Pertuan Agong ketika itu.
Ahli Parlimen Tambun itu juga mendedahkan mengenai perbualannya bersama Sultan Muhammad V semasa beliau berada di pusat pemulihan.
“Saya tidak memohon pengampunan kerana saya dihukum.
“Kita bantah penghakiman yang melanggar prinsip hukum kerana mengada-ngadakan membuat pertuduhan dan memaksa orang menjadi saksi atau mengambil siasatan sebelum laporan polis dibuat,” katanya di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Ujar Anwar, beliau menyebut pengampunan itu kerana ia merupakan perkara penting yang perlu dijelaskan agar tidak berlaku salah faham.
“Soal pengampunan itu penting. Yang mengambil inisiatif adalah Yang di-Pertuan Agong ketika itu yang menelefon saya semasa saya di rehab centre.
“Saya sebut ini adalah fakta, Sultan Muhammad V menelefon saya dan memberikan pengampunan penuh kerana Baginda mengikuti perbicaraan kes saya dan saya petik apa yang Baginda guna ialah travesty of the justice atau pelanggaran prinsip keadilan.
“Oleh yang demikian, saya akan memberi pengampunan penuh,” ujarnya.
Sumber: Awani