
Kematian ahli keluarga merupakan perkara yang sangat menyedihkan. Setelah ahli keluarga meninggal dunia, kebiasaannya kita akan mengimbau kembali kenangan-kenangan lama bersama. Begitulah yang dilakukan oleh seorang wanita di Changhua, Taiwan bersama saudaranya yang lain apabila kehilangan datuk mereka.
Setelah tiga hari kehilangan datuk mereka akibat sakit jantung, wanita yang dikenali sebagai Jia Jia Wu itu memutuskan untuk membuat album foto datuk mereka. Namun begitu, mereka tidak mempunyai banyak gambar bersama datuknya.

Lantaran itu, mereka mengambil keputusan untuk memeriksa gambar melalui Google dengan harapan dapat mencari gambar datuk mereka.
Apa yang mengejutkan sepanjang pencarian itu, mereka ‘menjumpai’ datuknya melalui paparan imej di Google Street View dan berasa sangat sedih.

“Saya tidak boleh berhenti menangis ketika melihatnya. Saya terus berfikir tentang bagaimana saya bercakap dengannya beberapa hari yang lalu.”
Berikutan penemuan gambar datuknya di Google Street View, Wu menjejaki laluan datuknya dan dapat melihat aktiviti hariannya seperti mengangkut sayuran, memberi itik dan ayam makan.


Kisah Wu dikongsikan di Facebook dan mendapat hampir 10000 reaksi suka daripada pengguna yang lain. Rata-rata pengguna laman sosial turut berasa hiba. Berikutan itu, ada juga yang berkongsikan kisah mereka yang juga menggunakan Google Street View untuk menemui gambar-gambar yang mereka tidak miliki.

Sumber: BuzzFeed.News