Dengan kes COVID-19 yang semakin menunjukkan penurunan, ramai yang berharap agar dapat merentas negeri terutama menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Pun begitu, seperti yang diumumkan oleh Menteri Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri pada hari ini, rentas negeri masih lagi tidak dibenarkan.
Menjelaskan mengenai perkara itu, Ismail Sabri berkata bahawa setiap keputusan yang dibuat adalah berdasarkan kajian penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan.
“Jadi, sama ada rentas negeri dibenarkan, itu hanya boleh diputuskan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.
Menurutnya, YAB Perdana Menteri juga memberikan gambaran-gambaran kemungkinan yang akan berlaku tetapi akhirnya Sidang Khas akan memutuskan berdasarkan kepada cadangan daripada Kementerian Kesihatan.
“Kalau Kementerian Kesihatan kata okay, selepas itu barulah mesyuarat akan memutuskan berdasarkan nasihat kementerian itu.
“Begitu juga dengan negeri, walaupun sesuatu negeri itu menampakkan peningkatan kes tetapi penilaian risiko akan dibuat oleh Kementerian Kesihatan iaitu mungkin berdasarkan kebolehjangkitan,” katanya.
Tambahnya, situasinya sama juga apabila melibatkan keputusan berkaitan PKPB atau PKPP, semuanya perlu berdasarkan penilaian risiko yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan.
“Saya tahu ramai yang berdoa setiap malam, setiap hari dan setiap kali lepas solat untuk balik kampung, jadi kita akan lihat berdasarkan kajian Kementerian Kesihatan,” katanya.
Beliau mengulas mengenai perkara tersebut setelah disoal oleh pemberita dalam sidang media pada hari ini.
Sumber: Majlis Keselamatan Negara