SINGAPURA, 27 Mei (Bernama) — “Hanya mati memisahkan kita”. Itulah tajuk hantaran Facebook seorang doktor, yang menceritakan perjalanan terakhir seorang pesakit kanser tahap-4, yang berhajat menemui bapa kesayangannya yang tinggal di seberang tambak.
Rakyat Malaysia berusia 46 tahun itu telah selamat dibawa pulang dari Singapura ke Malaysia, dalam keadaan sekatan perjalanan terhad oleh kedua-dua negara bagi mengekang pandemik COVID-19 pada 21 Mei, dengan bantuan pelbagai pihak.
Salah seorang daripadanya Dr Kaarthigan Ramaiah Pengarah di ‘Lifesaver Ambulance Johor’, yang turut menemani wanita tersebut di dalam ambulans di sepanjang perjalanan dua jam ke Hospital Pakar Putra, di Batu Pahat, Johor.
“Sampai di lokasi… pemandu saya membawa pengusung dan kami membawa pesakit tersebut secepat mungkin ke hospital Putra, sambil saya berusaha sebaiknya untuk menguruskan pesakit,” catat Dr Kaarthigan.
Wanita yang telah dikesan menghidap kanser servik tujuh tahun lepas, dibawa pulang ke Malaysia dari Hospital Mount Elizabeth Novena, Singapura.
Dalam hantarannya itu, Dr Kaathigan juga berkongsi saat beliau bersama dengna wanita itu yang keadaannya kesihatannya semakin teruk di awal 2020, ketika mereka bersama di dalam ambulans.
Pesakit : Bapa saya sedang menunggu Dr..
Saya : Ye puan, jangan risau, kita akan sampai sana tidak sampai dua jam.
Pesakit : Terima kasih banyak atas pertolongan Dr. Saya tidak sangka akan dapat bertemu dengan bapa saya semula. Saya takut akan mati di Singapura.
Saya : Bersabar ya puan. Kamu dalam keadaan baik. (sambil mengusap kepalanya).
Pesakit : Saya telah lawan penyakit ini hampir tujuh tahun. Saya rasakan masa saya sudah tiba.
Saya : Puan seorang pejuang. Teruskan berjuang. Puan pasti dapat hadapinya. (sambil memegang tangannya).
Mengikut Dr Kaarthigan, ambulans tiba di hospital berkenaan di Batu Pahat seperti dijadualkan, dengan bapa kepada pesakit tersebut dilihat sedang menunggu di pintu bahagian kecemasan.
“Belum sempat pemandu tarik brek tangan, beliau telah membuka pintu ambulans untuk melihat anaknya. Pemandu meminta beliau untuk bersabar, kerana kami perlu membawa pesakit keluar daripada ambulans.
“Sebaik pesakit dibawa keluar dari ambulans, kedua-dua bapa dan anak hanya membisu, tidak ada sebarang perkataan keluar dari mereka, hanya genangan air mata. (meremang),” catat beliau secara terperinci.
Dr Kaarthigan menamatkan catatan dihantaran beliau itu dengan: “Kami terima berita yang beliau telah meninggal dunia semalam (22 Mei). Beliau adalah seorang pejuang. Semoga rohnya tenang di sana”.
— BERNAMA