
“Saya Pegang Pen,” Ahli Parlimen Tanah Merah Nafi Hisap Vape
Ahli Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Azizi pada hari ini menafikan dakwaan berkenaan tindakan beliau yang menghisap rokok elektronik atau vape dalam Dewan Rakyat, lapor Sinar Harian.
Kenyataan itu dibuat Ikmal selepas sekeping gambar beliau sedang memegang satu objek berbentuk silinder pada mulutnya telah tular di media sosial.
Dalam kenyataan itu, beliau menjelaskan bahawa objek yang dimaksudkan itu adalah sebatang pen dan bukannya vape seperti yang ditularkan.
“Semua orang tahu saya bukan kaki merokok, duduk sebelah perokok pun saya tak tahan, apatah lagi merokok, hisap vape jauh sekali,” katanya.
Gambar berkenaan tular di media sosial selepas jurugambar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuat naik imej tersebut di laman X miliknya.
Jurugambar yang dikenali sebagai Sadiq Asyraf telah memuat naik imej itu dengan keterangan kapsyen berkenaan imej tersebut.
“Betul-betul koyak terus tarik vape sambil keluar dewan,” tulis kapsyen muat naik tersebut.
Hantaran itu dibuat selepas ahli Parlimen daripada pihak pembangkang telah keluar dewan secara beramai-ramai susulan kekecohan semasa penggulungan hujah daripada Anwar.
Kekecohan dikatakan berpunca daripada komen yang dibuat Anwar mengenai Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Dr Mohd Radzi Md Jidin pada Selasa lalu.
Dalam pada itu, Ikmal Hisham yang merupakan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berkata bahawa beliau bersedia untuk memberikan penjelasan.
Beliau akan mengeluarkan surat penjelasan berhubung isu tersebut kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Tambahnya lagi, beliau adalah wakil rakyat yang menyokong pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok 2022.
RUU yang dikemukakan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Razak mendapat sokongan sepenuhnya dari beliau.
BACA: Ramai Belum Tahu, Ni Cara Nak Dapat Minyak ‘Free’ Setahun Dari Petronas
Pada 2020, Menteri Luar Negeri ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah dikenakan kompaun selepas didapati menghisap vape di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Hishammuddin tidak mendedahkan jumlah kompaun yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu kepada beliau.
Selain itu, beliau turut memohon maaf berkenaan perkara tersebut selepas dikecam hebat oleh warganet atas kesalahannya itu.
Sumber: Sinar Harian