Mungkin kerana dihantui rasa bersalah, seorang pencuri nekad memulangkan semula motosikal yang dicuri kepada pemiliknya.
Malah, pencuri yang tidak dikenali itu juga menulis permohonan maaf di atas sehelai kertas di atas perbuatannya sebelum mengembalikan semula motosikal tersebut dalam kejadian yang berlaku di Jakarta, baru-baru ini.
Pemilik motosikal yang dikenali sebagai F, bersyukur apabila motosikal kesayangannya dipulangkan semula, lapor tribun News.
“Motor saya dicurinya pada Rabu (3/3/2021) dan dikembalikan semula oleh pencuri semalam dengan meletakkan semula di hadapan rumah.
”Pencuri itu menulis saya minta maaf, saya khilaf bos di atas sekeping kertas dengan disertakan emoji sedih atau penyesalan,” katanya.

Tambah wanita itu, motosikal yang dibelinya sebelum itu adalah berwarna biru namun dikembalikan semula dengan pelekat berwarna merah bagi menyembunyikan warna asalnya.
Namun sehingga kini, dia masih belum mengetahui identiti pencuri berkenaan.

Terdahulu, kejadian kecurian motosikal yang berlaku di Desa Bandar Kayu Manis, Derah Matraman, Jakarta Timur itu sempat dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV).
Di dalam rakaman tersebut, pencuri yang memakai topi keledar dilihat memecahkan pagar yang berkunci dan cuba mencuri motosikal jenis Kawasaki Ninja tetapi gagal.
Dia kemudiannya mengambil motosikal jenis Honda Beat milik wanita tersebut.
Warganet berkata, rakaman CCTV yang tersebar di media sosial mungkin menakutkan penjenayah itu sehingga bertindak memulangkan semula motosikal walaupun wajahnya tidak kelihatan.
Sumber: Tribun News