Pelawak Chris Rock telah memberi respon tentang insiden ditampar di Oscar 2022 selepas beberapa hari berdiam diri sejak kejadian itu berlaku. Dia memberi ‘jawapan’ tentang apa yang berlaku di pentas komedi yang berlangsung di Boston.
Seperti yang dilaporkan oleh laman web Variety, sejak pada mula dia tidak menunjukkan sebarang ‘niat’ untuk mengulas mengenai insiden semasa di Oscar.
Namun secara ringkas dia berkata bahawa dia tidak dapat mendedahkan jawapannya kerana dia masih cuba memahami apa yang berlaku pada malam itu sehingga menyebabkan ditampar oleh Will Smith.
“Saya masih cuba memproses apa yang berlaku, jadi suatu hari nanti pasti saya akan memberitahu tentang perkara ini,” jelasnya pada penonton yang hadir pada malam persembahannya.
Insiden itu turut memberi impak positif kepadanya apabila jualan tiket untuk persembahan ‘stand-up’ darinya habis dijual dalam tempoh 48 jam sahaja. Malah, syarikat jualan tiket itu memaklumkan bahawa tiket itu telah mencapai 25 kali ganda jualan berbanding bulan lalu.

Seperti yang kita ketahui, di malam Oscar itu, Rock yang naik ke pentas untuk mengumumkan pemenang dokumentari terbaik telah ‘bergurau’ tentang penampilan isteri Will Smith. Dia menyebut tentang filem GI Jane (1997) di mana pelakonnya Demi Moore mencukur rambutnya hingga kelihatan botak.
Mungkin Rock tidak mengetahui tentang keadaan sebenar Jada Pinkett Smith yang sedang menerima rawatan hingga menyebabkan keguguran rambut.
Kemudian, Will Smith naik terus ke pentas dan menampar pelawak yang berusia 57 tahun itu sebelum dinobatkan sebagai pelakon terbaik dalam majlis anugerah tersebut.
Bagaimanapun, pelakon terkenal itu dalam satu kenyataan telah memohon maaf kepada pelawak berkenaan dan The Academy.
Sumber: Variety, Siakap Keli En