Gambar: Tan Sri Muhyiddin Yassin/BERNAMA

“Saya Berbesar Hati Terima Pelantikan Ini Tanpa Apa-Apa Imbuhan” – Muhyiddin

Nur Adnin

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berbesar hati menerima pelantikan sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri, pada hari ini.

Beliau berkata, tanggungjawab yang diberikan itu akan dijalankan secara sukarela tanpa sebarang imbuhan.

”Alhamdulillah, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Jemaah Menteri, khususnya Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, atas pelantikan saya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri.

”Saya juga menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang telah memperkenankan pelantikan saya.

”Saya berbesar hati menerima pelantikan ini dan akan menjalankan tugas secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi beliau pada Sabtu.

Jelas Muhyiddin, kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan kepadanya ini merupakan suatu amanah untuk meneruskan segala usaha dan perancangan yang telah dimulakan sebelum ini bagi memulihkan negara daripada kesan wabak Covid-19.

Justeru, Majlis Pemulihan Negara di bawah pimpinannya itu akan berperanan membantu Perdana Menteri serta kerajaan bagi membawa negara ini melalui fasa-fasa pemulihan, seperti mana yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara.

Jelasnya, ia termasuklah menyokong pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, memudah cara pembukaan sektor-sektor ekonomi, sosial, pendidikan dan keagamaan.

Dalam masa sama, ia turut mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap pematuhan kepada norma baharu kehidupan selaras dengan peralihan pengurusan Covid-19 yang akan memasuki fasa endemik.

“Insya-Allah, saya akan memanfaatkan segala pengalaman yang ada dan mengharapkan sokongan semua pihak dalam semangat Keluarga Malaysia bagi memastikan matlamat melindungi nyawa, menjamin kelangsungan hidup dan memulihkan negara akan mencapai kejayaan,” tambahnya.

Sumber: FB Muhyiddin Yassin