Bintang bola sepak dunia, Mesut Ozil yang kini bersama Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), akhirnya membuka mulut selepas namanya diketepikan daripada senarai skuad The Gunners dalam saingan liga musim ini.
Menurut Ozil, beliau merasa sangat kecewa dengan keputusan tersebut memandangkan telahpun mengikrarkan kesetiaannya bersama kelab apabila menandatangani kontrak baru pada 2018.
”Seperti yang kita semua tahu, kesetiaan adalah sesuatu yang sukar ditemui dalam dunia hari ini. Saya cuba kekal positif dan beranggapan peluang saya akan tiba suatu hari nanti. Ia menjadi alasan kenapa saya berdiam diri selama ini.
Kata Ozil, beliau sebelum ini gembira melihat perancangan dan pembaharuan yang dibawa oleh jurulatih baru, Mikel Arteta. Malah, beliau turut merasakan telah bersedia untuk diturunkan dan prestasinya berada di tahap yang baik.
”Namun, keadaan berubah sekali lagi dan kini saya tidak lagi dibenarkan untuk menyarung jersi Arsenal.
”Apa lagi yang boleh saya katakan? London, masih terasa seperti rumah saya. Ramai kawan-kawan di sini dan saya ada hubungan yang kuat dengan kelab serta penyokong.
”Tak kira apa yang berlaku, saya akan terus berjuang dan tak akan membiarkan musim kelapan saya bersama Arsenal berlalu begitu sahaja.
”Kepada semua peminat, satu perkara yang saya boleh janjikan kepada kamu, bahawa semua ini tidak akan sesekali mengubah pemikiran saya.
”Saya akan terus berlatih dengan gigih dan apabila perlu, saya akan terus menggunakan suara saya untuk kemanusian dan keadilan.”
Beliau berkata demikian dalam satu surat ditujukan kepada semua peminatnya di laman twitter beliau.
Sumber: Mesut Ozil