Satu varian baharu koronavirus dilaporkan telah ditemui dan berkembang lebih cepat di beberapa bahagian di England, lapor BBC.
Setiausaha Kesihatan, Matt Hancock mengatakan bahawa sekurang-kurangnya 60 pihak berkuasa tempatan yang berbeza telah merekodkan kes jangkitan Covid disebabkan oleh varian baharu tersebut.
Beliau turut memaklumkan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah dimaklumkan dengan penemuan terbaru itu dan para saintis UK sedang melakukan kajian terperinci.
Tiada data setakat ini yang dapat ‘mencadangkan’ bahawa varian baharu ini boleh menyebabkan jangkitan menjadi lebih teruk atau menjejaskan keberkesanan vaksin.
Berkata kepada anggota parlimen di Dewan Rakyat, Matt mendedahkan bahawa sejak minggu lalu, terdapat peningkatan eksponensial dalam jangkitan koronavirus di London, Kent, Essex dan Hertfordshire.
“Kami pada saat ini telah mengenal pasti lebih dari 1,000 kes dengan varian ini terutama di Selatan England walaupun kes telah dikenal pasti di hampir 60 wilayah pihak berkuasa tempatan yang berbeza.
“Tidak dapat dipastikan sejauh mana ia disebabkan oleh varian baharu namun tidak kira apa pun penyebabnya, kita harus mengambil tindakan pantas dan tegas yang sangat penting untuk mengawal penyakit mematikan ini semasa vaksin dilancarkan,” katanya.
Ketua Pegawai Perubatan England, Prof Chris Whitty berkata bahawa ujian swab koronavirus akan mengesan varian baru yang telah banyak dijumpai di Kent dan kawasan terdekat sejak beberapa minggu lalu.
Seorang lagi penyelidik bagaimanapun berkata, masih terlalu awal untuk membuat andaian mengenai penemuan varian baharu koronavirus tersebut.
”Ia tidak bermakna varian baharu ini lebih mudah tersebar, lebih mudah menjangkiti atau lebih berbahaya. Cuma, ia sesuatu yang perlu kita beri perhatian.
”Usaha sedang dilakukan oleh saintis untuk mengetahui lebih lanjut ciri-ciri varian ini dan memahami kemunculannya.
”Amat penting untuk bertenang dan memiliki perspektif yang rasional terhadap strain baharu ini. Ia adalah evolusi virus yang biasa dan kami menjangkakan lebih banyak varian baru yang akan timbul dan hilang selepas ini,” kata Prof Alan McNally, pakar dari Universiti Birmingham.
Sumber: BBC
BACA: Jadi Tumpuan ‘Gamers’, Ini Lubuk Jenama Esports Terkenal Dunia