KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) — Satu prosedur operasi standard (SOP) dan sembilan garis panduan akan dilaksanakan dalam Fasa Peralihan ke Endemik mulai 1 April ini, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau yang juga Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19 berkata ia merupakan antara tujuh tonggak paling penting di fasa tersebut terutama dalam usaha negara menuju kepada kehidupan normal.
Hishammuddin berkata secara asasnya, satu SOP yang mengandungi 10 keperluan itu telah dipermudahkan daripada 181 SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan ia masih akan dikuat kuasakan di bawah Akta 342 mulai 1 April.
“Kesemua 10 keperluan ini sudah biasa diamalkan oleh orang ramai dalam Fasa PPN. Atas sebab itu, saya percaya setiap lapisan masyarakat boleh untuk terus melaksanakannya dengan sebaik mungkin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sepuluh keperluan itu ialah memakai pelitup muka ketika di tempat awam, waktu operasi mengikut lesen atau permit, menjaga kebersihan tangan, melakukan ujian pengesanan COVID-19 berdasarkan Strategi Pengujian Kebangsaan dan menguruskan kes yang disyaki atau disahkan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM).
Sumber: Bernama