Satu-satunya makmal ujian COVID-19 yang terletak di Gaza dilaporkan musnah akibat serangan udara Tentera Israel pada Isnin.
Akibat kejadian berkenaan, pihak berkuasa tempatan memaklumkan pihaknya tidak lagi dapat menjalankan ujian saringan COVID-19 terhadap orang awam.
Sebahagian struktur makmal yang dikenali sebagai Klinik Al-Rimal itu musnah dalam serangan tersebut. Turut dilaporkan terjejas adalah pejabat wilayah Kementerian Kesihatan dan juga pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Qatar.
Beberapa petugas kesihatan juga dilaporkan mengalami kecederaan dan ada mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Usaha-usaha pihak berkuasa tempatan untuk mengawal penularan pandemik COVID-19 di wilayah berkenaan juga kini terhenti ketika ini.
Sebelum ketegangan memuncak, fasiliti berkenaan dilapor menjalankan sebanyak 1,600 ujian saringan sehari. Hasil ujian saringan yang dibuat meletakkan Gaza antara wilayah yang mencatatkan kadar jangkitan tertinggi di dunia, iaitu pada kadar 28 peratus.
Malah, hospital di Gaza juga dilapor dibanjiri dengan pesakit-pesakit COVID-19.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pihaknya mendapati seramai 103,200 penduduk Gaza disahkan positif virus berkenaan dan sekurang-kurangnya 930 individu sudah meninggal dunia.
WHO juga memberitahu bahawa sekurang-kurangnya 122,000 dos vaksin sudah diagihkan di Gaza yang menjadi rumah kepada kira-kira 2 juta penduduk.
Sumber: Middle East Eye