
Satu Saat Mungkin Perlu Dibuang Dari Jam Dunia & Ini Sebabnya
Tahukah anda bahawa hari-hari kita di Bumi kini semakin pendek? Ini bukan kerana perubahan musim semata-mata, tetapi kerana Bumi sendiri sedang berputar lebih laju daripada biasa.
Pada Selasa, 5 Ogos 2025 (hari ini), pakar mencatatkan bahawa ia akan menjadi salah satu hari paling pendek dalam sejarah moden, dengan durasi kurang 24 jam sebanyak 1.25 milisaat.
Meskipun perbezaan itu terlalu kecil untuk dirasai oleh manusia, ia mencetuskan kebimbangan dalam kalangan saintis yang sedang memantau fenomena ini.
Kebanyakan kita tahu bahawa satu hari bersamaan dengan 24 jam. Tapi sebenarnya, dari sudut sains, ada dua jenis ‘hari’ yang digunakan untuk mengira putaran Bumi:
Hari sidereal – Tempoh sebenar Bumi membuat satu pusingan penuh (360 darjah) berbanding bintang-bintang di langit. Ia mengambil masa 23 jam, 56 minit dan 4.1 saat.
Hari solar – Tempoh dari satu tengah hari ke tengah hari berikutnya mengikut kedudukan matahari di langit. Inilah yang kita guna dalam kehidupan seharian, iaitu bersamaan 24 jam atau 86,400 saat.
Hari yang kita gunakan dalam kehidupan seharian ialah hari solar. Inilah yang mencetuskan kekeliruan kerana hari solar Bumi kini kurang daripada kiraan saat sepatutnya.
Sejak pengukuran rasmi bermula pada 1973, pakar mendapati bahawa hari di Bumi menjadi semakin panjang, terutamanya disebabkan oleh tarikan graviti bulan.
Ini berlaku kerana bulan menarik air laut, lalu mencetuskan pasang surut yang menimbulkan geseran. Geseran inilah yang memperlahan putaran Bumi secara perlahan-lahan.
Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sesuatu yang mengejutkan berlaku. Putaran Bumi mula menjadi semakin laju, menyebabkan hari-hari menjadi lebih pendek daripada biasa.
Saintis masih belum dapat memastikan punca sebenar fenomena ini, tetapi beberapa teori telah dikemukakan:
1. Perubahan kedudukan bulan
Pada 9 Julai, 22 Julai dan 5 Ogos 2025, bulan berada dalam kedudukan yang lebih condong dari garisan khatulistiwa. Kedudukan ini dijangka memberi kesan kepada kelajuan putaran Bumi.
2. Pergerakan teras cecair Bumi
Ada kemungkinan bahawa teras cecair di bahagian dalam Bumi berputar lebih perlahan, dan ini menyebabkan lapisan luar Bumi berputar dengan lebih cepat sebagai tindak balas.
3. Pemanasan global
Pemanasan global juga dikaitkan dengan fenomena ini. Pencairan ais dan perubahan berat di permukaan Bumi mungkin menyumbang kepada ketidakseimbangan putaran Bumi.
Buat masa ini, perubahan ini tidak memberi kesan secara langsung kepada kehidupan seharian kita. Kita masih bangun, bekerja dan tidur seperti biasa.
Namun begitu, ia mengganggu sistem masa sejagat yang sangat bergantung kepada ketepatan.
Ini termasuk sistem seperti GPS, komunikasi satelit dan urusan perdagangan antarabangsa. Semua ini memerlukan kiraan masa yang sangat tepat hingga ke pecahan saat.
Jika fenomena putaran laju ini berterusan, dunia mungkin terpaksa melakukan sesuatu yang belum pernah dibuat sebelum ini, iaitu memperkenalkan “detik lompat negatif” (negative leap second).
Biasanya, jika Bumi berputar terlalu perlahan, saintis akan menambah satu saat tambahan, dikenali sebagai “detik lompat” (leap second), supaya jam dunia kekal selaras dengan pergerakan sebenar Bumi.
Namun kali ini, keadaannya terbalik. Disebabkan Bumi berputar lebih cepat, saintis mungkin perlu menolak satu saat daripada jam dunia, sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah manusia.
BACA: Maksud Sebenar “CC” Dalam Pilihan Subtitles
BACA: Ketahui Sebab Otot Betis Dipanggil “Jantung Kedua” Manusia
BACA: Rupanya Ini Sebab Sebenar Tayar Kenderaan Ada ‘Rambut’
Sumber: Space.com