PUTRAJAYA, 23 Sept – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat satu lagi kluster baharu COVID-19 di Tawau, Sabah dikenali sebagai Kluster Udin.
Memetik kenyataan KKM, kes indeks kluster tersebut (iaitu kes ke-9894) adalah seorang perempuan warganegara Malaysia berumur 72 tahun.
“Kes indeks dikesan positif COVID-19 hasil saringan warga emas yang dijalankan di Klinik Kesihatan Merotai, Tawau pada 12 September 2020.
“Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan 2 lagi dikesan positif COVID-19 pada 22 September 2020.
“Kedua-dua kes positif ini melibatkan warganegara Filipina. Mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan,” kata kenyataan tersebut, hari ini,
Setakat hari ini, sejumlah 128 individu telah disaring dan hasil mendapati, tiga (3) dikesan positif, 71 negatif dan 54 lagi menunggu keputusan.
“Langkah pencegahan jangkitan termasuk proses nyah kuman dan proses pembersihan telah dijalankan di lokasi-lokasi yang terlibat.
“Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan,” kata kenyataan itu lagi.
Sumber: KKM