amorim sasaran united epl
Gambar: AFP

Sasaran Sebenar United Nak Menang EPL – Amorim

Fazidi

Tersingkir Piala FA, Amorim Tegaskan Sasaran United Nak Menang EPL

Kempen piala domestik Manchester United musim ini sekali lagi berakhir dengan kekecewaan apabila tersingkir daripada saingan Piala FA di halaman sendiri, pagi tadi.

Bercakap dengan media selepas tamat perlawanan, Ruben Amorim bagaimanapun pantas memanfaatkan peluang yang ada untuk mengingatkan peminat dengan sasaran sebenar United.

“Sasaran sebenar adalah memenangi kejuaraan liga. Kami sedar kami kalah banyak perlawanan dan terlepas trofi pada musim ini, tetapi sasaran utama kami adalah untuk memenangi EPL sekali lagi.

“Saya tidak pasti berapa lama masa yang diperlukan, tetapi itulah sasaran kami. Jika anda berfikir seperti itu, kami boleh menderita sedikit dengan kekalahan ini.

“Tetapi kami ada sasaran kami, walau apa pun yang berlaku dan kami kekal fokus dengan sasaran itu.

“Saya semakin memahami pemain-pemain saya dan liga dengan lebih baik. Saya tahu apa yang perlu dilakukan dengan skuad ini dan kita lihat apa yang berlaku di masa depan,” katanya.

Kali terakhir United merasai nikmat menjulang trofi EPL adalah 12 tahun lepas, iaitu pada 2013 ketika dibimbing oleh pengurus legenda, Sir Alex Ferguson.

Amorim tegaskan sasaran sebenar United adalah menang EPL

Beraksi di hadapan sokongan padu puluhan ribu peminat, anak buah Amorim memulakan aksi dengan baik dengan melancarkan serangan bertali arus ke arah gawang Fulham.

Percubaan kencang Bruno Fernandes pada minit ke-11 hampir meletakkan tuan rumah di hadapan, namun Bend Leno tenang menepis bola dan memberikan sepakan sudut kepada lawan.

United terus memberi ancaman kepada pasukan pelawat selepas itu, namun dihampakan oleh penyudah tumpul dua pemain yang beraksi di bahagian serangan, Rasmus Højlund dan Joshua Zirkzee.

Fulham yang sesekali hadir ke kotak penalti lawan mencipta kejutan apabila terlebih dahulu di depan menerusi tandukan Calvin Bassey pada masa tambahan separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, giliran Fulham pula memulakan perlawanan dengan intensiti tinggi menerusi beberapa serangan berbahaya ke arah Onana.

Gandingan beberapa pemain di sebelah kiri seperti Antonee Robinson, Alex Iwobi, Andrea Pereira dan Emile Smith Rowe hampir menghadiahkan gol kedua buat Fulham.

Bend Leno muncul wira Fulham

Bagaimanapun, pemain-pemain United bangkit memperkemaskan aksi selepas itu dan gol penyamaan mereka hadir pada minit ke-70 menerusi cubaan luar kotak penalti oleh Fernandes.

Aksi seterusnya berlangsung seimbang, dengan United galak mencari gol kemenangan ketika Fulham lebih menguasai perlawanan.

Kedudukan 1-1 bertahan sehingga wisel penamat masa tambahan ditiup pengadil, menyaksikan perlawanan terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti.

Leno muncul sebagai wira kelabnya apabila menggagalkan dua sepakan penalti pemain United, sekaligus membawa Fulham mara ke pusingan seterusnya.

BACA: Polis Tahan Lelaki Didakwa Bunuh, Bakar Ibu Kandung

Sumber: 90min