KUALA LUMPUR, 31 Jan — Sapura Energy Bhd telah melantik Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Presiden Permodalan Nasional Bhd (PNB), Abdul Jalil Abdul Rasheed sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif berkuat kuasa 1 Februari 2020.
Menurut Sapura Energy dalam satu kenyataan hari ini Abdul Jalil menggantikan Datuk Hamzah Bakar yang berkhidmat sebagai ahli Lembaga Pengarah SapuraCrest Petroleum sejak 4 Julai 2003 dan bertindak sebagai Pengerusi Sapura Energy sejak 9 Dis 2011.
Syarikat itu juga telah mengumumkan pelantikan Syed Ali Syed Salem Alsagoff, calon pengarah PNB, sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif berkuat kuasa pada 1 Feb 2020.
Susulan perubahan dalam jawatan pengerusi lembaga pengarah, Abdul Jalil juga akan mengambil alih Pengerusi Jawatankuasa Ganjaran Lembaga daripada Hamzah.
Datuk Ramlan Abdul Rashid pula akan menggantikan Hamzah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelan Insentif Jangka Panjang, manakala Datuk Muhamad Noor Hamid mengambil alih sebagai ahli Jawatankuasa Pencalonan Lembaga.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Sapura Energy Tan Sri Shahril Shamsuddin dalam ucapan penghargaannya kepada Hamzah memberitahu pengalaman, nasihat dan kesungguhan untuk meraih kecemerlangan yang dimiliki Hamzah telah memandu syarikat untuk membuat pelbagai langkah korporat termasuk melalui tempoh yang mencabar.
Shahril ketika mengulas mengenai pelantikan Abdul Jalil berkata kumpulan tersebut mengharapkan pengerusi baharu ini akan menyuntik idea segar, pengetahuan pasaran modal yang mendalam dan satu set kompetensi ke dalam lembaga pengarah.
“Latar belakang dan kekayaan pengalaman beliau akan memainkan peranan penting bagi memacu Sapura Energy ke masa depan yang cerah. Kami mempunyai keyakinan penuh terhadap beliau dan keupayaannya untuk membawa syarikat ke dalam episod pertumbuhan seterusnya,” katanya.
Sapura Energy merupakan salah satu daripada syarikat strategik utama PNB, di mana PNB dan dana bersekutunya secara kolektif memiliki 40 peratus kepentingan.
sumber: BERNAMA