Suasana santai lelaki bersama dua beranak ketika berada di tepi pantai bertukar panik apabila tayar kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki mereka tersangkut di pesisir Pantai Sentosa, Sekinchan semalam, lapor Sinar Harian.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.08 petang dan kemudian bergegas ke tempat kejadian.
Seramai tujuh anggota digerakkan untuk menyelamatkan ketiga-ketiga mangsa yang dipercayai berusia lingkungan 20 hingga 64 tahun itu dan mereka berjaya diselamatkan.
“Sejurus tiba di lokasi, anggota bomba dan orang awam berjaya membantu menolak kenderaan terbabit ke jalan ban,” kata Norazam, memetik Sinar Harian.
Difahamkan, selama 40 minit operasi menyelamat kenderaan dan mangsa dijalankan di lokasi kejadian sebelum mereka diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Ekoran kejadian yang berlaku, Norazam menasihatkan orang ramai yang mengunjung ke pantai untuk tidak meletakkan kenderaan di tebing pantai supaya kejadian yang sama tidak berulang di masa hadapan.
Menurutnya, walaupun pada waktu tertentu air menunjukkan telah surut namun orang ramai tidak patut mengambilnya sebagai satu peluang untuk meletakkan kenderaan di situ.
Tindakan itu akan mengundang bahaya dan risiko tinggi terutama sekali sekiranya air mula pasang.
“Kita tidak menggalakkan orang awam untuk meletakkan kenderaan di tebing kerana pasir pantai tidak padat dan berisiko menyebabkan ia tersangkut.
“Lebih berbahaya jika air pasang boleh menyebabkan kenderaan mereka ditenggelami air dan menyukarkan operasi menyelamat,” kata beliau.
Sumber: Sinar Harian