
Sangka Dah Mati, Gadis Menangis Hiba, Kucing Lebih Setahun Hilang Pulang Semula Ke Rumah
Kucing merupakan antara haiwan yang sering dipelihara oleh manusia kerana terkenal dengan sikapnya yang manja, nakal dan sering mencuit hati si pemilik.
Hubungan erat yang terjalin antara kucing dan si pemilik kadangkala dilihat lebih akrab berbanding hubungan bersama manusia. Golongan pencinta kucing ini kadangkala lebih gemar menceritakan masalah bersama haiwan peliharaan mereka dikala hati mereka sedang gusar.
Oleh disebabkan rasa cinta dan sayang yang amat mendalam kepada kucing, ada sesetengah manusia yang sanggup melakukan apa sahaja demi keselesaan kucing mereka. Walau bagaimanapun, pergerakan kucing ini tidak dapat dikawal sepenuhnya oleh manusia kerana haiwan ini gemar bergerak bebas ke mana sahaja mereka mahu.
Namun, apa yang lebih menakutkan para pemilik kucing adalah apabila kucing kesayangan yang dipelihara tidak pulang semula setelah meninggalkan rumah.
Sama seperti yang dialami oleh pemilik TikTok ini, dalam sebuah perkongsian @_melanisafitri_ di laman tersebut, dia telah berkongsi tentang kucingnya yang dipercayai telah hilang selama setahun setengah kini akhirnya sudah pulang semula ke rumahnya.
Dalam video tersebut, seorang kakak telah memaklumkan adiknya tentang keberadaan kucing peliharaan mereka yang bernama Tayo di rumahnya.
Pada mulanya, adiknya dilihat sukar untuk mempercayai kata-kata kakaknya yang memberitahu bahawa Tayo kini sedang berada di rumah mereka.

Namun, setelah melihat kucing kesayangannya benar-benar berada di hadapan matanya, gadis itu terkejut dan segera bergegas ke arah kucing itu sebelum memeluk erat kucing yang berwarna kelabu bercampur putih itu.
Suasana bertukar menjadi hiba apabila gadis itu mula mengalirkan air mata sambil memeluk erat kucing peliharaannya.
Dalam pada itu, si kakak hanya tertawa melihat telatah adiknya yang dilihat sangat bahagia apabila bertemu semula dengan kucing yang dianggap bijak itu.
Menurut pemilik akaun TikTok itu, Tayo merupakan kucing yang pandai membuka peti sejuk dengan sendirinya selain mempunyai kebolehan untuk membuka pintu. Selain itu, Tayo turut dikenali dalam kalangan jiran tetangganya yang lain kerana kecomelan dan kebijakan yang dipamerkan oleh kucing itu.
Bagaimanapun, setelah kehilangan kucing itu, dia dan adiknya sudah beranggapan bahawa Tayo sudah mati.
Pun begitu, adiknya masih lagi sentiasa mengingati Tayo, bermimpi dan menangis setiap kali teringatkan kucing itu.
Tambah kakaknya lagi, walaupun Tayo bukan berasal dari baka kucing yang mahal namun kucing itu mampu menyentuh hati mereka berdua.
Video tersebut mendapat sambutan daripada warganet apabila masing-masing turut menzahirkan rasa sedih mereka apabila melihat gadis comel itu menangis ketika bertemu semula dengan Tayo.
Sehingga kini video tersebut telah mendapat sebanyak 12.8 juta tontonan di TikTok.
Sumber: @_melanisafitri_ via TikTok