Gambar dengan izin ibu bapa.

Sampai Masuk ICU, Ibu Ini Pesan Kena Vaksin Anak Sebab Kesan COVID-19 Lebih Teruk

Eyla Azri

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Wabak COVID-19 telah ‘hidup’ bersama kita sejak dua tahun lalu dan masih terus menular hingga ke hari ini dengan kemunculan varian baharu yang membimbangkan.

COVID-19 telah menjangkiti jutaan manusia di seluruh dunia, tidak kira umur, jantina mahupun keadaan kesihatan seseorang. Malah sesetengah daripada mereka yang dijangkiti turut mengalami komplikasi selepas COVID-19 atau dipanggil post Covid.

Keadaan sama turut dialami seorang bayi lelaki yang baru berusia lapan bulan. Luluh hati si ibu melihat penderitaan anaknya yang masih kecil terpaksa melalui keadaan seperti itu.

Terpanggil untuk berkongsi kisah dan memberi kesedaran kepada ibu bapa tentang kepentingan vaksinasi, ibu yang dikenali sebagai Fara Adelina ini melalui laman Twitter miliknya tampil berkongsi cerita.

“Tolong vaksin anak anda kalau boleh sebab komplikasi selepas COVID-19 lebih teruk.

“Saya dah tak sanggup tengok bayi saya kena macam ni, kategori lima weh,” katanya dalam hantaran tersebut.

Gambar: Fara Adelina

Fara turut memaklumkan bahawa anak lelakinya, Iryaz disahkan positif COVID-19 awal tahun ini dan dibenarkan keluar dari unit rawatan rapi (ICU), 11 Januari lalu.

“Untuk penjelasan, Iryaz positif awal tahun ni pada 3 Januari 2022. Iryaz keluar dari ICU pada 11 Januari 2022.

“Kali terakhir pemeriksaan oleh pediatrik di hospital, sel darah dia semua abnormal,” kata Fara.

Jelasnya, walaupun Iryaz telah pulih dari COVID-19, dia masih perlu diperiksa selain mengambil asid folik.

“Doktor pakar cakap dia masih perlu diperiksa enam bulan lepas ambil bacaan darah.

“RBC (bacaan sel darah merah), WBC (bacaan sel darah putih) dan THY perlu berada di tahap normal, jadi dia dalam tempoh pengambilan asid folik,” jelas Fara.

Gambar dengan izin ibu bapa.
Gambar dengan izin ibu bapa.

Semoga perkongsian dari ibu ini sedikit sebanyak memberi iktibar kepada para ibu bapa di luar sana dan tidak lagi teragak-agak mendapatkan suntikan vaksin untuk anak masing-masing.

Sumber: Twitter Fara Adelina