Kredit: Sky News

Sambutan Tahun Baharu Bertukar Tragedi, 40 Terkorban Dalam Kebakaran Bar Di Switzerland

Sofea

Sambutan Tahun Baharu Bertukar Tragedi, 40 Terkorban Dalam Kebakaran Bar Di Switzerland

Sekitar 40 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 100 lagi cedera dalam kejadian kebakaran besar di sebuah bar di bandar peranginan ski mewah Switzerland, Crans-Montana, pada awal pagi Khamis.

Menurut laporan AFP, pengunjung pada ketika itu sedang menyambut ketibaan Tahun Baharu.

Orang awam yang menyaksikan kejadian itu menggambarkan suasana ‘panik’ apabila ramai pengunjung cuba memecahkan tingkap bar untuk melarikan diri, manakala mangsa lain yang mengalami kecederaan melecur berlari keluar ke jalan.

Polis, anggota bomba dan pasukan penyelamat bergegas ke lokasi di resort popular itu selepas menerima panggilan kecemasan.

Komander polis kanton Wallis di barat daya Switzerland, Frederic Gisler, memberitahu pemberita bahawa pihak berkuasa telah mengesahkan sekitar 40 orang maut dan kira-kira 115 cedera, kebanyakannya dalam keadaan serius.

Duta Itali ke Switzerland, Gian Lorenzo Cornado, kemudiannya memberitahu AFP di Wallis bahawa angka kematian meningkat kepada 47 orang, namun polis Switzerland berkata mereka tidak dapat mengesahkan jumlah tertentu.

BACA: Sambutan Tahun Baru Mengorbankan 73 Orang Manakala 574 Lagi Cedera Di Thailand

“Ini merupakan salah satu tragedi terburuk yang pernah dialami negara kita. Ia merupakan satu bencana dengan skala yang belum pernah berlaku, amat mengerikan,” kata Guy Parmelin, yang mengambil alih jawatan Presiden Switzerland pada Khamis.

Sementara itu, seorang pelancong dari New York yang merakam api jingga terang menjulang keluar dari bar itu memberitahu AFP bahawa beliau melihat orang ramai berlari dan menjerit.

Alexis Lagger, 18, sedang berjalan bersama sekumpulan rakan berhampiran bar Le Constellation, apabila mereka melihat asap dan api keluar dari premis tersebut lalu menghubungi polis.

“Orang ramai berlari menembusi api. Mereka menggunakan kerusi untuk cuba memecahkan tingkap,” katanya kepada penyiar awam Switzerland, RTS.

Kredit: AFP

Pihak berkuasa berkata mereka masih menyiasat punca kebakaran yang tercetus sejurus sebelum jam 1.30 pagi, namun menegaskan mereka tidak percaya kejadian itu berpunca daripada satu ‘serangan’.

Laporan awal mencadangkan satu letupan besar mungkin telah menyebabkan kebakaran di Le Constellation, yang mempunyai kapasiti 300 orang, selain 40 orang lagi di teresnya, menurut laman web Crans-Montana.

Namun Ketua Pendakwa Wallis, Beatrice Pilloud, berkata siasatan awal menunjukkan bahawa kebakaran itulah yang menyebabkan letupan dan bukan sebaliknya.

Beberapa keterangan saksi yang disiarkan oleh pelbagai media pula menunjukkan penggunaan bunga api kecil yang dipasang pada botol champagne dan diangkat oleh kakitangan restoran sebagai sebahagian daripada ‘persembahan’ biasa untuk pelanggan.

“Terdapat pelayan wanita dengan botol champagne dan bunga api kecil. Mereka terlalu dekat dengan siling dan tiba-tiba semuanya terbakar,” kata seorang saksi yang berada di lokasi kejadian, kepada media Itali Local Team.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Switzerland berkata mereka sedang berusaha untuk mengenal pasti mangsa, namun memberi amaran proses tersebut mungkin mengambil masa beberapa hari, malah beberapa minggu.

Sumber: AFP