Sambutan Hari Malaysia Secara Bergilir, Beri Peluang Rakyat Jiwai Keramat Tarikh 16 Sept
PUTRAJAYA, 9 Sept (Bernama) — Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan wajar diadakan secara bergilir di setiap negeri bagi memberi peluang kepada seluruh warga Malaysia memahami dan menjiwai makna tarikh keramat 16 Sept, kata penganalisis politik Prof Dr Sivamurugan Pandian.
Sivamurugan berkata kaedah penggiliran itu akan membuatkan aura sambutan Hari Malaysia sama seperti kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan yang sentiasa dinanti-nantikan segenap lapisan masyarakat negara ini, setiap tahun.
“Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan pernah diadakan di Melaka. Saya rasa ia perlu diteruskan dengan diraikan di Semenanjung begitu juga sambutan Hari Kebangsaan peringkat kebangsaan perlu diadakan di Sabah dan Sarawak.
“Sebab kita adalah Malaysia, Malaysia adalah kita. Itu cerminan lambang semangat patriotik lebih-lebih lagi untuk semai semangat ini dalam kalangan generasi muda yang kita lihat sangat teruja apabila menjelang sambutan Hari Kebangsaan,” katanya kepada Bernama.
Pada 24 Jun 2020, mesyuarat Jemaah Menteri ketika itu bersetuju agar sambutan Hari Malaysia diadakan secara bergilir-gilir antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
Sambutan Hari Malaysia 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ buat julung kali diadakan di Semenanjung, dengan Melaka menjadi tuan rumah sambutan memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia di mana Sabah dan Sarawak telah menyertai Malaysia pada 1963.
Sementara itu, aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye berkata semangat patriotik yang lebih tinggi akan disemai dalam segenap lapisan masyarakat yang mempelajari tentang sejarah pembebasan negara daripada cengkaman penjajah dan penubuhan Persekutuan Malaysia, sekiranya disambut secara bergilir.
“Jika rakyat tidak kenal dengan tanah airnya, masakan wujud perasaan hormat, cinta dan taat setia kepada negara,” katanya yang menyifatkan sambutan hari bersejarah negara sebagai simbol semangat patriotik dan rasa kecintaan kepada negara.
Sambutan Hari Malaysia tahun ini akan menggunakan tema yang sama dengan Hari Kebangsaan 2023 iaitu ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’, manakala frasa bahasa Iban di Sarawak “Segulai Sejalai” yang bermaksud seiring sejalan akan digunakan sebagai cogan kata perpaduan untuk seluruh negara.
Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan pada 16 Sept ini akan diadakan di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak.
Pada 19 Okt 2009, kerajaan ketika itu telah mengisytiharkan sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada 16 Sept setiap tahun sebagai cuti umum untuk seluruh negara mulai 2010.
Sementara itu, pakar sejarah Prof Datuk Dr Ramlah Adam mencadangkan agar sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia disekalikan dalam satu majlis bagi sambutan di peringkat kebangsaan.
“Bila bercakap soal negara, apa salahnya kerajaan sekalikan sahaja sambutan, sebab kita sebagai rakyat Malaysia, kita bersatu di bawah satu bendera iaitu Jalur Gemilang.
“Ini melambangkan kesatuan dan kesepakatan rakyat selaras hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menyatukan rakyat,” katanya yang merupakan bekas profesor di Universiti Malaya.
BACA: Cara Fresh Grad Nak Buat Resume Mantap Abad Ke-20
Sumber: Bernama