sambutan raya london
Gambar: Arab News, Twitter, Google

Sambutan Aidilfitri Di London Meriah, Dihadiri Pelbagai Bangsa & Agama

Faiz Mustafa

London – Cuti tahunan Hari Raya Aidilfitri di London, ibu negara United Kingdom telah diberikan semula setelah dua tahun disekat kerana pandemik Covid-19.

Pada setiap tahun, majlis untuk meraikan berakhirnya bulan Ramadan akan diadakan di ‘Eid in the Square’ yang dianjurkan sendiri oleh Datuk Bandar London, Sadiq Aman Khan.

Menurut Sadiq, majlis tersebut disambut pada setiap tahun dan dianjurkan kepada orang awam, sama ada Muslim atau bukan Muslim. Acara pada tahun ini merupakan kali yang ke-17.

“Ramai orang memberikan gambaran yang salah soal agama Islam dan orang-orangnya sering difitnah.

“Hal hebat tentang bulan Ramadan adalah umat Islam, seperti saya, menunjukkan kepada mereka yang bukan Islam dengan perkara yang baik seperti sedekah, belas kasihan dan kesopanan.

“Dan hari raya adalah tentang penyatuan ramai orang dan meraikan perayaan penting ini bersama-sama,” jelas Sadiq dalam satu kenyataan, lapor Arab News.

Gambar: London.gov.uk
Gambar: Twitter Sadiq Khan

Menurut Arab News, ketika ancaman wabak itu semakin berkurangan, Sadiq berkata pihak berkuasa di London mahu lihat banyak lagi peristiwa yang mencerminkan semua agama.

Difahamkan, perayaan Paskah dan Vaisakhi telah pun berlangsung di dataran pada tahun ini dan akan menyambut perayaan Diwali dan Hanukkah dalam beberapa bulan akan datang.

“Sangat penting untuk kita sedar bahawa di London kepelbagaian agama dan bangsa bukanlah kelemahan tetapi kekuatan.

“Bukan bermaksud kita hanya perlu bertolak ansur dengan Muslim semata-mata, tapi juga menghormati mereka, peluk dan raikan mereka.

“Saya seorang yang percaya dalam integrasi, dalam masa sama memahami dan menghormati latar belakang agama lain yang berbeza.

“Saya bangga menjadi seorang ‘Brit’, seorang warga London, mempunyai darah Pakistan yang berasal dari Asia serta seorang Muslim,” jelasnya lagi.

Memetik Arab News, tarikh Hari Raya Aidilfitri pertama di London jatuh pada Isnin, 2 Mei, namun sambutan itu diadakan pada hari Sabtu, 7 Mei agar lebih ramai keluarga Muslim dan pengunjung lain boleh hadir memeriahkan lagi acara itu.

Acara itu diadakan dengan persembahan muzik secara langsung berinspirasikan hiburan Islamik, komedi, seni, puisi dan kebudayaan lain. Terdapat juga jamuan makanan dari gerai-gerai membawakan masakan dari seluruh dunia.

Difahamkan juga, orang ramai yang hadir berpakaian bertemakan Aidilfitri dan melakukan aktiviti mesra keluarga seperti kaligrafi, bercerita, ukiran inai, lukisan wajah, bengkel sains dan pelbagai aktiviti sukan.

Seorang pensyarah universiti berusia 42 tahun, Ayham Jaaron dari Palestin pertama kali meyambut Hari Raya Aidilfitri di UK dan pergi ke festival itu di London. Dia hadir dari Loughborough di Leicestershire bersama isteri dan dua anaknya.

Gambar: Hasenin Fadhel via Arab News

Ayham juga berbangga menjadi sebahagian Muslim di Britain yang merupakan sebuah masyarakat yang menggalakkan nilai toleransi dan kesaksamaan sesama mereka.

“Saya rasa ini adalah peluang yang baik untuk masyarakat Islam berkumpul dan meraikan bersama orang lain, dalam masa sama dapat menikmati suasana kekeluargaan yang meriah,” tambahanya, lapor Arab News.

Isterinya, Yasmin Abu Alhla Jaaron, seorang penyelidik berusia 32 tahun yang sedang menuntut di peringkat ijazah kedoktoran pula kagum melihat umat Islam dari pelabgai budaya menyambut Aidilfitri bersama-sama. Dia juga terharu dengan kehadiran orang bukan Islam yang turut serta.

Menurutnya, disebabkan sedang melanjutkan pelajaran di luar negara, dia tidak berpeluang untuk menyambut hari raya bersama keluarga sendiri. Dengan acara ini yang menyatukan semua orang, jadi ia seperti satu keluarga besar.

Gambar via Arab News

“Saya amat berterima kasih untuk ini,” katanya, menerusi Arab News.

Seorang lagi wanita Muslim yang berasal dari Pakistan juga baru berpindah di London dari Jerman membawa anak lelakinya berusia sembilan tahun ke ‘Eid in the Square’.

Dia tidak menyangka perayaan itu dianjurkan dalam skala besar dan turut menyediakan pelbagai aktiviti keluarga.

“Tidak ada perayaan seperti ini di Jerman, kami hanyalah masyarakat Islam yang kecil di sana.

“Tetapi lain pula di sini, terdapat ramai orang dari budaya yang berbeza serta kepercayaan yang juga berbeza tapi meraikan perayaan ini bersama-sama, jadi saya gembira melihat keadaan ini,” katanya, lapor Arab News.

Anak lelakinya, Ameen berkata, dia seronok dengan acara tersebut dan ia merupakan pengalaman kali pertamanya menyambut Hari Raya Aidilfitri seperti itu.

Katanya, dirinya berasa begitu seronok walaupun dia berasa pelik melihat begitu ramai orang Islam tinggal di bandar bukan Islam.

Sementara itu, seorang perunding kewangan dari Tunisa, Mariem Bouchaala, 32, juga tidak pernah hadirkan diri di acara seperti ini sebelum ini dan tidak menyangka ia akan jadi ‘sesak’.

Difahamkan, dia juga ditemai oleh rakan-rakan dari beberapa negara termasuk Sepanyol, Columbia dan India dan berpendapat bahawa suasana itu mencerminkan sebahagian dari budaya di London.

Menjelang perayaan dengan kerjasama ‘Eid in the Square’, buat pertama kalinya roda pemerhati gergasi London Eye di tebing Sungai Thames diterangi dengan cahaya bulan sabit untuk merayakan Aidilfitri.

Sumber: Arab News, Sadiq Khan (Twitter)