
Saluran YouTube rasmi Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri yang mempunyai 100,000 pengikut telah dipadam oleh pihak YouTube.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Dr Zulkifli menerusi kenyataan di Facebook miliknya hari ini.
“Dengan penuh rasa dukacita serta reda atas ketentuan-Nya, saya ingin memaklumkan bahawa YouTube Channel rasmi Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri yang telah menghimpunkan lebih 100,000 pelanggan serta ribuan rakaman kuliah dan siri pengajian telah dipadam oleh pihak YouTube.
“Pihak pejabat saya telah segera mengemukakan rayuan rasmi dan kini sedang menantikan maklum balas lanjut daripada pihak berkenaan,” katanya.
Menurutnya lagi, berdasarkan penelitian awal pasukan medianya, kemungkinan sistem pengesanan automatik YouTube telah tersalah tafsir dengan mengaitkan saluran rasminya kepada iklan video tipuan (AI-generated scam ads). Iklan itu telah menggunakan wajahnya tanpa kebenaran, khususnya untuk mempromosikan produk ubatan yang meragukan.
“Saya percaya isu ini berpunca daripada kelemahan algoritma pengesanan kandungan (content moderation system) yang tidak dapat membezakan iklan video tipuan yang semakin kerap mengeksploitasi wajah tokoh awam melalui teknologi kecerdasan buatan (deepfake),” katanya.
Sebagai alternatif, pihaknya telah mencipta saluran YouTube Al Inarah (https://www.youtube.com/@appalinarah) untuk meneruskan perkongsian maklumat berkaitan agama.