Salem Al-Dawsari dinobat afc 2025
Gambar: AFC

Salem Al-Dawsari Dinobat Pemain Terbaik AFC 2025

Iqbal Yasir

Salem Al-Dawsari Dinobat Pemain Terbaik AFC 2025

RIYADH — Bintang bola sepak Arab Saudi, Salem Al Dawsari dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Konfederasi Bolasepak Asia (AFC ) 2025 dalam majlis AFC Awards Riyadh 2025 yang berlangsung di Pusat Kebudayaan King Fahad awal pagi tadi.

Al Dawsari mengungguli anugerah utama termasuk mengetepikan dua calon lain, Arif Aiman (Malaysia) dan Akram Afif (Qatar).

Ia susulan prestasinya yang cemerlang bersama kelab dari Arab Saudi, Al Hilal.

Pada musim lalu, pemain berusia 34 tahun itu menamatkan musim sebagai penjaring terbanyak AFC Champions League Elite, membantu pasukannya mara ke peringkat separuh akhir, selain menjadi tonggak utama ketika Al Hilal melangkah ke suku akhir Piala Dunia Kelab FIFA.

Di peringkat domestik, Al Dawsari turut mencipta sejarah apabila menjadi pemberi bantuan gol (assist) terbanyak sepanjang masa dalam liga, malah menyumbang 15 gol buat kelabnya.

Anugerah ini merupakan yang kedua peribadi buatnya apabila pernah merangkul anugerah yang sama pada tahun 2022.

Ia sekaligus menjadikan Al-Dawsari satu-satunya pemain Arab Saudi yang berjaya mengulangi pencapaian itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyokong saya.

“Pencapaian ini bukan pengakhiran, tetapi permulaan kepada cita-cita yang lebih besar.

“Saya akan terus berusaha untuk mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa,” katanya ketika menerima anugerah tersebut.

Sementara itu, pemain Jepun, Hana Takahashi, turut diumumkan sebagai Pemain Wanita Terbaik AFC 2025.

Takahashi berjaya memimpin Urawa Red Diamonds Ladies menjuarai piala domestik, menamatkan saingan liga di tempat ketiga dan mara ke suku akhir AFC Women’s Champions League.

Sumber: AFC

BACA: Kebangkitan Faisal Halim Curi Tumpuan, Ini Kata Media Antarabangsa

BACA: Murid PPKI SK Meru Meninggal Dunia Akibat Influenza A